Oleh: Roslinda Hashim
KUALA NERUS - Orang Melayu perlu bangkit dan bersatu secara menyeluruh bagi memastikan kembali berkuasa mentadbir negara, sekali gus menjamin masa depan agama, bangsa dan tanah air.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, kegagalan Melayu untuk benar-benar bersatu menjadi punca utama mereka kehilangan kekuatan politik walaupun merupakan majoriti dalam negara.
Menurutnya, walaupun Melayu dilihat bersatu pada zahirnya, hakikat sebenar menunjukkan perpaduan itu masih belum kukuh.
“Kami benar-benar ikhlas mahu melihat Melayu bersatu dan mengambil kembali kuasa di negara ini. Kita mungkin nampak bersatu, tetapi tidak benar-benar bersatu. Sebab itu saya mohon kita semua bangkit untuk memastikan penyatuan ini menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Larut itu tegaskan, terdapat dua perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha menyatukan Melayu, iaitu kepimpinan harus berjiwa besar dan perjuangan ikhlas tanpa kepentingan peribadi.
“Pemimpin perlu ketepikan ego serta berjiwa besar dan bersedia duduk semeja demi mencapai agenda penyatuan orang Melayu, namun realiti politik semasa menunjukkan masih wujud perpecahan.
“Apabila saya bertemu Presiden UMNO di Bangkok baru-baru ini, kita boleh duduk bersama pemimpin Bersatu dan PAS untuk bincang ‘payung besar’. Tetapi apabila pulang, timbul pula idea ‘Rumah Bangsa’. Ini pun sudah nampak kita belum bersatu sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau turut menekankan, perjuangan mesti berteraskan agama, bangsa dan negara serta berpandukan Rukun Islam dan Rukun Negara, bukan didorong kepentingan politik atau individu.
“Ini bukan soal kelangsungan politik semata-mata, tetapi kelangsungan untuk memastikan Melayu bukan sahaja memimpin, malah benar-benar menguasai negara,” katanya.
Hamzah berkata, Melayu yang membentuk kira-kira 60 peratus populasi negara dan meningkat kepada 65 hingga 66 peratus jika digabungkan dengan Bumiputera, sepatutnya mempunyai kuasa politik yang dominan.
“Sepatutnya Melayu yang berkuasa, tetapi kita tidak menguasainya. Saya bukan daripada mana-mana parti, saya Ketua Pembangkang di Parlimen yang menyaksikan, pentingnya perjuangan untuk menentukan kuasa orang Melayu bukan hanya dapat memimpin negara tetapi benar-benar menguasainya. Bukan seperti kerajaan hari ini, pemimpinnya Melayu tetapi tidak menguasainya,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa usaha penyatuan Melayu tidak akan menafikan hak kaum lain, sebaliknya memastikan keadilan untuk semua rakyat.
“Bukan Melayu tidak perlu takut kerana perjuangan ini adalah untuk kestabilan dan kesejahteraan negara. Yang kita perjuangkan adalah untuk menyatukan bangsa Melayu dan juga bukan Melayu.
“Melayu bangkit kerana ketidakadilan dalam negara. Kita mahu pendekatan Amar Makruf Nahi Mungkar, menyeru kepada kebaikan mencegah daripada melakukan kemungkaran.
“Saya nak peringatkan orang Melayu, kita yang salah kerana kita tidak tahu memimpin dan tidak ikhlas meneruskan perjuangan kita untuk agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hamzah mengkritik kepimpinan Kerajaan Madani berhubung kenaikan harga diesel yang didakwa memberi kesan besar kepada petani dan pesawah.
Katanya, ramai pesawah kini tidak lagi berminat menanam padi, sekali gus menimbulkan risiko terhadap sekuriti makanan negara.
“Jika satu musim tiada penanaman padi, kita mungkin berdepan ketiadaan bekalan beras selama enam bulan. ‘Food security’ ini perkara serius yang perlu diberi perhatian kerajaan.
“Saya bangkitkan kepada kerajaan supaya mencari mekanisme untuk bantu rakyat terkesan, terutama petani dan pesawah. Saya dilabel sebagai ‘bebal’, hakikatnya Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) tidak menyedari situasi sebenar.
“Hampir 200,000 pesawah adalah orang Melayu. Mereka bertemu saya dan maklumkan, adakah mereka menanam padi semata-mata untuk berjihad menjadi miskin?
“Saya ingin maklumkan kepada Perdana Menteri, bukan saya ‘bebal’, kamu yang ‘bebal’ kerana tidak mahu melihat kesusahan Melayu di bawah sana,” ujarnya.
Tambah beliau, inilah natijahnya apabila negara dipimpin oleh seorang yang ‘cakap lain, buat lain’, khususnya berhubung isu terbaharu berkaitan kenaikan harga diesel.

0 Comments