Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawan PAS
Apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa hanya sekitar 15% rakyat terkesan akibat kenaikan harga diesel, kenyataan ini bukan sahaja mengundang persoalan tetapi mendedahkan satu kelemahan besar dalam memahami bagaimana ekonomi sebenar berfungsi.
Ini bukan isu angka semata-mata tetapi isu kefahaman asas tentang struktur ekonomi negara.
Diesel bukan sekadar bahan api tetapi nadi utama ekonomi. Dalam mana-mana ekonomi moden, diesel bukan digunakan oleh segelintir individu. Ia adalah input kritikal kepada hampir seluruh sistem ekonomi.
Contohnya lori dan kontena yang mengangkut barang, rangkaian logistik dan penghantaran, sektor pertanian dan makanan, industri pembuatan dan pembinaan.
Apabila harga diesel melonjak hampir 50%, kesannya tidak berhenti kepada pemilik kenderaan diesel. Ia menolak naik kos di setiap peringkat rantaian bekalan.
Barang tidak “terbang” ke pasar raya. Ia bergerak dengan lori. Dan lori bergerak dengan diesel.
Kesilapan asas: melihat kesan secara “direct”, bukan “systemic”.
Dakwaan 15% itu pada asasnya merujuk kepada pengguna diesel secara langsung iairu pemilik kenderaan diesel individu. Tetapi dalam ekonomi, kesan tidak berlaku secara linear. Ia berlaku secara berlapis.
Kesan Langsung
10-15% pengguna diesel terkesan secara langsung.
Kesan Kepada Perniagaan
40-60% entiti perniagaan berkaitan logistik, SME, pengilang, dan petani terkesan.
Kesan Kepada Pengguna
Hampir 100% rakyat terkesan dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Di atas adalah apa yang dipanggil "kesan pusingan kedua" iaitu kesan berantai yang sering menjadi punca sebenar tekanan kos sara hidup.
Justeru, mengatakan hanya 15% terkesan adalah satu kenyataan "terlalu memudahkan isu kompleks" dan pastinya boleh mengelirukan rakyat.
Realiti di lapangan: hampir semua rakyat terkesan
Apabila kos diesel meningkat; kos pengangkutan naik, kos makanan meningkat dan os operasi perniagaan melonjak.
Akhirnya, peniaga memindahkan kos ini kepada pengguna.
Siapa pengguna? Seluruh rakyat Malaysia.
Ini bermakna, walaupun seseorang tidak memiliki kenderaan diesel, mereka tetap membayar harga yang lebih tinggi untuk beras, ayam, sayur, barang runcit, servis penghantaran, dan harga produk pengguna. Ini bukan teori. Ini mekanisme asas inflasi.
Industri yang terjejas jauh lebih luas dari 15%
1. Logistik & pengangkutan: Setiap lori di jalan raya menggunakan diesel. Apabila kos meningkat, kos penghantaran naik dan ini memberi kesan kepada semua sektor.
2. Pertanian & makanan: Petani, nelayan, pekebun kecil menggunakan diesel untuk jentera dan operasi harian. Kenaikan kos ini terus menekan harga makanan.
3. Pembuatan (manufacturing): Industri ini bergantung kepada logistik dan tenaga. Kenaikan diesel meningkatkan kos produksi dan mengurangkan daya saing.
4. SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana): SME adalah tulang belakang ekonomi. Sebahagian besar mereka beroperasi dengan margin kecil. Dengan kenaikan kos diesel memberi tekanan langsung kepada kelangsungan perniagaan.
Data bantuan sendiri membongkar realiti sebenar program bantuan seperti BUDI menunjukkan bahawa ratusan ribu pengguna diesel wujud dan sebahagian besar tidak menerima bantuan.
Ini bermaksud ramai dalam kalangan peniaga kecil, kontraktor, dan pengusaha logistik kecil
terpaksa menanggung kenaikan kos tanpa sokongan mencukupi.
Jika benar hanya 15% terkesan, mengapa perlu bantuan bersasar kepada begitu banyak sektor ekonomi?
Masalah sebenar kerajaan hari ini ialah kegagalan membaca ekonomi secara menyeluruh. Isu ini bukan sekadar salah angka.
Ia menunjukkan kegagalan lebih besar kerajaan iaitu gagal membezakan antara statistik permukaan dan realiti ekonomi sebenar. Ekonomi bukan sekadar angka pengguna. Ekonomi adalah jaringan kompleks di mana satu kos akan merebak ke seluruh sistem.
Apabila pemimpin hanya melihat “siapa guna diesel”, tetapi tidak melihat “siapa terkesan oleh diesel”, maka dasar yang lahir juga akan tersasar.
Realiti yang tidak boleh dinafikan ialah yang menggunakan diesel mungkin minoriti tetapi yang membeli barang, makanan dan menggunakan perkhidmatan adalah seluruh rakyat Malaysia.
Apabila diesel naik: Kos naik, harga naik, tekanan hidup meningkat dan akhirnya, rakyat secara keseluruhan menanggung beban. Maka menyatakan hanya 15% rakyat terkesan bukan sahaja tidak tepat.
Malahan ia memberi gambaran seolah-olah kesan kenaikan ini kecil, sedangkan hakikatnya ia menyentuh hampir seluruh struktur ekonomi negara. Dalam isu sebesar ini, negara tidak perlukan angka yang menenangkan tetapi perlukan pemimpin yang mempunyai kefahaman yang tepat, jujur, dan berpijak pada realiti ekonomi sebenar apabila berbicara dengan rakyatnya.

0 Comments