Oleh: Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan dakwaan ketirisan pengurusan kewangan negeri Kedah yang dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pentadbiran negeri itu.
Menurut beliau, perkara tersebut sukar difahami malah disifatkan seolah-olah berlaku di ‘planet lain’ kerana langsung tidak menyentuh urusan kerajaan Kedah.
“Saya tak faham isu dia (bangkitkan). Saya tengok dalam video pun tak faham apa yang dia cakap, tak tahu apa yang cuba disampaikan.
“Tak ada sangkut paut dengan kita di Kedah. Saya anggap ia berlaku di planet lain, memang tak ada kaitan dengan kita di Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Poster, Teaser dan Trailer filem The Keris di sini, semalam.
Sebelum itu, Sidang DUN Perak dilaporkan kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad membangkitkan dakwaan berhubung ketirisan dalam pengurusan kewangan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Beliau turut menggesa agar Sanusi meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar susulan dakwaan tersebut.
Tindakan ADUN berkenaan mencetuskan suasana tegang dalam sidang apabila beliau disindir kerana membangkitkan isu melibatkan negeri lain ketika perbahasan DUN Perak sedang berlangsung.
Situasi itu turut dipersoalkan beberapa pihak termasuk dalam kalangan pembangkang sendiri yang melihat tindakan berkenaan sebagai pelik, memandangkan isu sama tidak dibangkitkan oleh pembangkang di Kedah.

0 Comments