TIGA DAERAH REKODKAN TAHAP GELOMBANG HABA, ORANG RAMAI DINASIHAT KURANGKAN AKTIVITI LUAR

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Orang ramai khususnya di Kedah dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar rumah serta mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas susulan fenomena gelombang haba yang melanda negeri ini pada ketika ini.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat 6 pagi Selasa, tiga daerah di Kedah, iaitu Baling, Pendang dan Pokok Sena merekodkan cuaca panas pada Tahap 2 (jingga) dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara, tujuh daerah, iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu berada pada Tahap 1 (kuning) atau berjaga-jaga dengan suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, keadaan cuaca panas di negeri ini lebih ketara berbanding negeri lain berikutan ketiadaan hujan sejak lebih sebulan lalu.

“Jadi, saya ingin nasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah termasuk kunjung-mengunjung pada Aidilfitri ini atau aktiviti riadah luar yang lain.

“Saya bimbang orang ramai boleh terdedah kepada suhu panas yang tinggi hingga menyebabkan strok haba. Awasi tanda-tanda strok haba seperti pening berpanjangan, dahaga luar biasa, suhu badan meningkat.

“Minum air kosong dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi dan elakkan minuman manis kerana ia boleh menyebabkan kita lebih haus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca panas.

“Jangan lakukan pembakaran sampah secara tidak terkawal kerana cuaca kering sekarang boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.

“Paras air di sungai dan empangan di negeri ini juga semakin surut. Ada kawasan berdepan masalah bekalan air, jadi elakkan pembaziran. Orang ramai perlu berjimat cermat serta menyimpan air secukupnya untuk kegunaan harian,” katanya.

Selain Kedah, beberapa negeri lain termasuk Perlis, Pulau Pinang (daerah Utara dan Timur Laut), Perak (Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Hulu Perak), sebahagian Pahang (Jerantut, Raub) serta Wilayah Persekutuan turut direkodkan berada pada tahap berjaga-jaga.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, setakat tahun 2026 ini, sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas direkodkan di negara ini, termasuk satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap cuaca panas melampau susulan peningkatan kes berkaitan strok haba di negara ini.

Sementara itu, ruangan komen di media sosial turut dipenuhi dengan luahan netizen yang terkesan dengan cuaca panas ketika beraya di negeri ini.

“Panas lit-lit (terik), nak beraya pun tak ada mood, tak pernah lagi panas macam ni”

“Jenuh bayaq bil letrik lah, aircond on 24 jam, tambah-tambah di Pokok Sena”

“Kot ada nak pi beraya, eloklah pergi lepas Maghrib, kalau tak mau kulit gelap, panas sungguh nak berjalan-jalan di siang hari” - antara komen netizen di media sosial.

Post a Comment

0 Comments