Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Semua masjid di negeri Kedah diminta melaksanakan Solat Sunat Istisqa’ pada esok (26 Mac) susulan cuaca panas dan kering sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, pelaksanaan solat sunat berkenaan bertujuan memohon agar diturunkan hujan serta mengurangkan kesan musim kemarau yang berpanjangan.
Menurut beliau, solat tersebut akan dilaksanakan pada Khamis bermula jam 8.30 pagi di semua masjid di seluruh negeri ini.
“Negeri Kedah kini sedang berdepan cuaca panas dan kering bagi tempoh yang agak panjang, justeru kita mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama menunaikan Solat Sunat Istisqa’ sebagai usaha memohon rahmat dan hujan daripada Allah SWT,” katanya, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, semua Pejabat Agama Daerah telah diminta untuk menyelaras pelaksanaan solat berkenaan di peringkat daerah, termasuk menentukan masjid utama bagi tujuan tersebut.
“Kerjasama semua pihak amat diharapkan bagi memastikan pelaksanaan ibadah ini berjalan lancar dan mencapai tujuan yang dihasratkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai juga disaran agar terus mengamalkan langkah berjimat cermat dalam penggunaan air sepanjang tempoh cuaca panas ini.
Lokasi di seluruh daerah di Kedah yang anjurkan Solat Sunat Istisqa' pada Khamis.
1. Daerah Yan : Masjid Badlishah Pekan Yan
2. Daerah Kuala Muda : Masjid Andalusia Bandar Laguna
3. Daerah Bandar Baharu : Masjid Al Fateh Serdang
4. Daerah Kulim : Masjid Sg Seluang
5. Daerah Pokok Sena : Masjid Tanjung Musang
6. Daerah Baling : Padang Awam Kuala Ketil
7. Daerah Langkawi : Masjid Al - Hana
8. Daerah Kota Setar : Masjid Zahir
9. Daerah Padang Terap : Masjid Tengku Sarafudin Badlishah
10. Daerah Pendang : Masjid Sharifah Husna, Paya Sena
11. Daerah Kubang Pasu : Masjid al-A'la
12. Daerah Sik : Masjid Pekan Sik
Muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai dengan kelengkapan sejadah masing-masing.

0 Comments