Oleh: Roslinda Hashim
SIK - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalakkan supaya terus berkongsi rezeki dengan masyarakat sebagai usaha membantu golongan memerlukan, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendekatan itu bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah diyakini mampu menarik keberkatan serta melipatgandakan rezeki kepada organisasi terlibat.
“Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yakin selagi kita memberi, ALLAH SWT akan melipatgandakan rezeki. Kita bagi sumbangan, ALLAH bagi rezeki lain,” katanya ketika berucap pada Program Prihatin Aidilfitri di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.
Menurut beliau yang juga Pengerusi PKNK, amalan berkongsi rezeki itu menjadi antara dasar yang diterapkan selepas penstrukturan semula agensi berkenaan.
Katanya, PKNK komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan serta menyemai semangat kebersamaan dalam masyarakat.
“Semoga projek, program dan urusan PKNK dipermudahkan serta dilipatgandakan hasil pendapatan. Diharapkan juga rezeki pegawai dan kakitangan turut dimurahkan.
“PKNK akan terus menabur budi, di negeri ini, ‘negeri orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan, pelbagai program sumbangan telah dan akan dilaksanakan di beberapa lokasi lain sebagai usaha berterusan membantu rakyat.
“Antara yang telah dilaksanakan oleh PKNK, sumbangan sempena pembukaan sekolah kepada guru-guru PASTI, SRITI dan SMITI melibatkan kira-kira 2,000 penerima dengan jumlah RM200,000,” katanya.
Program Prihatin Aidilfitri merupakan inisiatif kebajikan PKNK bagi meringankan beban golongan memerlukan di samping menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

0 Comments