Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menjangkakan kehadiran sehingga 80,000 pengunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri yang akan berlangsung di Seri Mentaloon pada Jumaat ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peningkatan jumlah jangkaan kehadiran itu berdasarkan kepada pengalaman lepas apabila penyediaan makanan untuk 60,000 pengunjung tidak mencukupi.
“Untuk tahun ini kita tambah lagi persediaan kerana tahun lepas makanan yang disediakan untuk 60,000 orang tidak cukup, jadi kali ini kita sediakan sehingga 80,000 orang,” katanya.
Menurut beliau, majlis yang bermula pada 5 petang hingga 10 malam itu mengekalkan konsep sederhana dan berjimat cermat dengan penyediaan juadah secara gotong-royong tanpa pembaziran.
“Ini program yang baik untuk menjamu orang makan, namun kita tidak berbelanja boros. Kita jimat cermat dan buat secara gotong-royong seperti memasak nasi, lemang dan pelbagai juadah lagi,” katanya.
Sanusi turut memaklumkan, antara menu istimewa yang akan disajikan termasuk nasi daging yang merupakan hidangan tradisi kampung yang akan disediakan sendiri oleh beliau.
“Contohnya dari Sik, kita masak nasi daging gulai rias pisang, yang ini saya belanja. Nasi daging paling sedap adalah nasi daging dari kampung saya, Sungai Pau. Pakat mari rasa, ada di Mentaloon hari raya nanti,” ujarnya.
Tambah Sanusi, majlis tersebut bukan sahaja menawarkan pelbagai juadah, malah akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Datuk M. Nasir, Mawi, Haziq Rosebi, Oja serta Kumpulan NADA.
Dalam pada itu, beliau menegaskan agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri.
“Bukan dilarang sepenuhnya, tetapi yang tidak dibenarkan adalah menggunakan dana kerajaan, jabatan atau agensi. Kalau guna dana sendiri atau anjur secara potluck, gotong-royong, tidak ada masalah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, wakil rakyat juga dibenarkan menganjurkan rumah terbuka namun menggunakan dana sendiri atau dana parti tanpa sebarang isu.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, penganjuran majlis pada sebelah petang hingga malam dipilih bagi mengelakkan ketidakselesaan pengunjung berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini kebelakangan ini.
“Cuaca di negeri ini agak panas, jadi kita buat pada sebelah petang hingga malam supaya lebih selesa kepada pengunjung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh rakyat Kedah termasuk anak perantauan serta pengunjung dari luar Kedah untuk hadir memeriahkan majlis tersebut.
“Datanglah beramai-ramai pada 27 Mac di Seri Mentaloon,” katanya.

0 Comments