Nur Akasyah Sabri
Profesor Madya Dr. Muhammad Noor Habibi Haji Long dilantik sebagai Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Kedah (PUK) bagi penggal 2026/2027 dalam Mesyuarat Agung PUK 2026, sekali gus menyaksikan peralihan kepimpinan baharu organisasi berkenaan.
Pelantikan tersebut dijangka memperkukuhkan lagi peranan PUK sebagai wadah penyatuan ulama dan penggerak agenda dakwah serta pendidikan Islam di negeri Kedah.
Dr. Muhammad Noor Habibi kini merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Padang Nyior, Padang Terap, dan mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya, Tuan Guru Haji Long Yaakob serta mendalami pengajian pondok di Pondok Ahmadiyyah, Padang Terap.
Beliau seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum memperoleh Sarjana dalam bidang Syariah dan Undang-undang di Universiti Malaya, serta Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Muamalat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Selain bergiat aktif dalam bidang akademik, beliau turut menyampaikan kuliah di masjid-masjid sekitar negeri ini serta memiliki kepakaran dalam pengajian turath berbahasa Arab dan penulisan Jawi.
Dalam bidang pentadbiran dan institusi Islam, beliau menganggotai beberapa badan penting termasuk Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah, Ahli Jawatankuasa Kutipan dan Agihan Zakat LZNK, Ahli Lembaga Pengarah YINK Holdings, Ahli Lembaga KIDU serta Panel Penasihat Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat UUM (IPIZ UUM).
Turut mengemudi kepimpinan baharu PUK ialah Ustaz Abdullah Din sebagai Timbalan Yang Di-Pertua, Ustaz Shahril Azir sebagai Setiausaha Agung dan Ustaz Zulkarnain Ishak sebagai Bendahari Kehormat.
Mesyuarat turut memutuskan pelantikan Ahli Jawatankuasa PUK yang baharu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Induk Jawatankuasa bagi memastikan barisan kepimpinan yang lebih tersusun, berwibawa dan berkesan dalam memacu organisasi.
Persatuan Ulama Kedah ditubuhkan pada 19 Januari 1946 di Maktab Mahmud, Alor Setar kekal sebagai antara institusi penting dalam sejarah perkembangan Islam di negeri ini.
Ia terus berperanan sebagai penyatuan ulama dan agamawan dalam memperkukuh pendidikan Islam, institusi pondok serta gerakan dakwah, selain menyumbang kepada pembangunan intelektual Islam sejak era pra-kemerdekaan hingga kini.
Kepimpinan baharu ini diharap menjadi pemangkin kepada pengukuhan peranan ulama dalam mendepani cabaran semasa ummah dan memperkasa agenda Islam di negeri Kedah.

0 Comments