OPERASI RAYA AIDILFITRI KEDAH: PASTIKAN KEBERSIHAN SEPANJANG AIDILFITRI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - E-Idaman Sdn Bhd melancarkan Operasi Raya Aidilfitri Kedah 2026 bagi memastikan tahap kebersihan serta pengurusan sisa pepejal di seluruh negeri ini kekal terpelihara sepanjang musim perayaan.

Ketua Divisyen Operasi E-Idaman, Munir Amani Dasheer berkata, sebanyak 267 unit jentera bersama 867 petugas akan digerakkan secara bersepadu sepanjang tempoh operasi berkenaan.

Menurutnya, operasi khas itu melibatkan penggunaan 133 unit Compactor Unit (CU), 119 unit Mini Armroll, tujuh unit Open Tipper dan lapan unit Backhoe bagi memperkukuhkan kerja kutipan serta pembersihan di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan awam.

“Daripada jumlah keseluruhan petugas, seramai 388 pekerja dalaman dan 479 pekerja kontraktor akan terlibat bagi memastikan pengurusan sisa dilaksanakan secara lebih cekap dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran kempen hargai makanan, elak pembaziran sempena Ramadan, di Stadium Darul Aman.

Turut hadir, Datuk Bandar Alor Setar, Abdul Gafar Yahya.

Munir Amani berkata, bagi memastikan kawasan persekitaran bersih menjelang pagi Hari Raya Aidilfitri, operasi khas itu akan dijalankan bermula 10 malam hingga 6 pagi pada malam raya, dengan tumpuan kepada kawasan perumahan, tong pusat serta lokasi yang dijangka mencatat peningkatan janaan sisa.

Katanya, berdasarkan rekod operasi pada 2025, jumlah kutipan sisa sepanjang bulan Ramadan mencecah 38,814 tan, merangkumi sisa isi rumah, sisa pukal serta sisa pembersihan awam.

“Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, sebanyak 2,128 tan sisa direkodkan, manakala 1,174 tan dikutip pada hari pertama raya,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh minggu pertama Syawal 2025, sebanyak 9,320 tan sisa telah dikutip di seluruh kawasan operasi di Kedah, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara janaan sisa sepanjang musim perayaan.

“Bagi menangani situasi itu, E-Idaman telah mengenal pasti 238 lokasi tong pusat yang berpotensi mengalami lambakan sisa.

“Syarikat akan melaksanakan kutipan bilas, iaitu kutipan tambahan melebihi tahap perkhidmatan standard bagi memastikan sisa tidak melimpah dan menjejaskan kebersihan persekitaran,” katanya.

Munir Amani berkata, sebanyak 70 unit tong sementara akan ditempatkan di lokasi strategik, melibatkan lima unit tong Roll-On Roll-Off (RoRo), 45 unit tong berkapasiti 1,100 liter serta 20 unit tong berkapasiti 660 liter bagi menampung lebihan janaan sisa sepanjang musim perayaan.

“Penempatan tong tambahan itu bersifat sementara dan hanya dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya memainkan peranan bersama dengan mengurus sisa secara teratur serta mematuhi jadual kutipan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pelaksanaan operasi khas itu mencerminkan komitmen berterusan E-Idaman dalam memastikan persekitaran kekal bersih, selesa dan lestari demi kesejahteraan masyarakat sepanjang musim perayaan.

Post a Comment

0 Comments