Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar
Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak banyak mengubah pendirian dan ketetapan yang dibuat FIFA termasuklah penghakiman Jawatankuasa Rayuan FIFA bertarikh 3 November 2025 yang lalu.
Kes ini ada dua perspektif; pertama proses naturalisasi yang meragukan.
Kedua jenayah penipuan dokumentasi dan sijil lahir.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) sebut dalam Dewan Rakyat bertarikh 9 Oktober 2025 bahawa permohonan naturalisasi kesemua pemain warisan mengikut garis perundangan sebenar.
Namun, apa yang meragukan adalah kepatuhan ketiga-tiga "rukun" naturalisasi berdasarkan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
KDN kata permohonan naturalisasi mesti dibuat oleh individu berkenaan tanpa melalui ejen lain.
Tetapi FIFA mendedahkan bahawa pemain menyerahkan sepenuhnya kepada ejen dan FAM, malah tidak tahu, tidak faham dan tidak sedar dengan pendokumentasian naturalisasi yang mereka tanda tangan.
KDN pada mulanya kata kesemua pemain mematuhi syarat pemastautin dalam satu-satu tempoh.
Tetapi kemudiannya kata syarat ini dikecualikan menggunakan kuasa Menteri di bawah Butiran 20(1)(e), Bahagian III, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan.
KDN kata mereka lulus dalam ujian Bahasa Melayu.
Tetapi FIFA mendedahkan pemain tidak tahu dan langsung tidak faham Bahasa Melayu. Mereka tidak membaca dokumen naturalisasi dan tidak tahu apa isi kandungannya.
Malah, mereka juga tidak dibentangkan tentang isi kandungan dokumen berkenaan oleh pihak lain.
Sebelum kita bincang lebih lanjut soal kelayakan mereka bermain di bawah logo Harimau Malaya, isu naturalisasi kesemua pemain warisan ini sebenarnya mempunyai episod gelap yang sama.
Bagaimana mungkin proses naturalisasi pemain seolah-olah melalui "pintu belakang"?
Jawapan KDN pula hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Selain itu, apa yang menjadi persoalan adalah pemberian sijil lahir datuk/nenek pemain-pemain tadi oleh Kerajaan Malaysia.
Bagaimana proses semakan menyeluruh dan klarifikasi maklumat dilakukan oleh pihak KDN sendiri sedangkan terbukti sebaliknya bahawa segala maklumat adalah palsu.
FIFA menjelaskan bahawa pemberian sijil lahir oleh Kerajaan Malaysia "unreliable". Bukankah ia suatu situasi yang sangat memalukan?
Lebih mendukacitakan, sejak kes ini dibongkarkan sehingga ke saat ini, masih tiada tindakan diambil oleh KDN. Sedangkan kes ini telah menjadi suatu kesalahan jenayah yang sangat serius.
Sampai bila KDN akan terus berpeluk tubuh dan menyerahkan kepada FAM untuk dikambinghitamkan?
Ini rentetan kes penipuan pemain warisan yang menjejaskan imej negara. Malangnya KDN tidak kelihatan mengambil tindakan yang tegas sejak ia didedahkan kepada pihak awam pada tahun lalu.
Menterinya pula sibuk mengurus cawangan Kulim berbanding mengambil berat isu besar yang sedang dihadapi negara. Jelas sangat tidak kompeten untuk menjaga sebuah Kementerian sebesar KDN!

0 Comments