PAS BERTAHAN KERANA KEKAL ISTIQAMAH DENGAN AJARAN AL-QURAN - ABDUL HADI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - PAS mampu bertahan sehingga kini kerana parti itu tidak pernah lari daripada prinsip perjuangan berteraskan al-Quran walaupun berdepan pelbagai cabaran serta perubahan kepimpinan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pegangan terhadap ajaran Islam yang berpandukan al-Quran menjadi asas penting dalam memastikan perjuangan parti itu terus kukuh dan relevan sepanjang masa.

Menurutnya, kekuatan dan kelangsungan PAS adalah kerana parti itu kekal istiqamah kepada ajaran al-Quran serta mengekalkan konsep perjuangan secara berjemaah.

“PAS dapat bertahan sehingga hari ini kerana kita istiqamah dengan ajaran al-Quran. Walaupun pemimpin bersilih ganti, ada yang meninggalkan parti, ada melompat ke parti lain, ada yang bawa diri, PAS tetap ‘hidup’ dan meneruskan perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Nuzul Quran PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah di sini.

Abdul Hadi berkata, pendekatan berteraskan al-Quran serta amalan ‘amar makruf nahi mungkar’ menjadi tonggak utama yang membolehkan parti itu terus bertahan walaupun berdepan pelbagai cabaran sejak penubuhannya.

Menurutnya, kekuatan PAS juga terletak pada konsep berjemaah yang diamalkan dalam parti, sekaligus memastikan perjuangan Islam dapat diteruskan secara teratur dan berterusan.

“Dalam PAS terdapat dua tonggak penting, iaitu kepimpinan ulama yang menjaga dasar perjuangan serta kepimpinan parti yang mentadbir organisasi, kedua-duanya saling melengkapi.

“Kita ada Majlis Syura Ulama yang menjaga dasar dan pimpinan Pusat yang mentadbir parti. Dua-dua ini tidak berpisah, inilah yang menjadikan parti kita teguh dan kuat,” ujarnya.

Tambah beliau, PAS juga mengamalkan pendekatan Islam secara menyeluruh, berbeza dengan sesetengah gerakan Islam yang hanya menumpukan kepada dakwah atau amar makruf semata-mata tanpa menegakkan nahi mungkar.

“PAS teguh, berdiri hingga ke hari ini. Walaupun berlaku cabaran, tetap jadi parti yang kuat. Tak seperti kumpulan lain yang ‘mati’ apabila pemimpinnya mati. Jadi kita perlu kekal berjemaah,” katanya.

Abdul Hadi turut mengingatkan ahli parti supaya terus mempertahankan dasar perjuangan Islam dan tidak mengubah prinsip semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

“Ini perkara jemaah, kita mesti pertahankan sifat-sifat ini. Jangan ubah dasar perjuangan,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat parti Islam di beberapa negara yang akhirnya mengubah dasar perjuangan sehingga menjadi sekular, sekaligus menyebabkan mereka kehilangan kekuatan sebenar.

“Jika kita istiqamah, orang buat macam mana pun, tak akan mati (parti). Oleh kerana itu, kita perlu bertahan.

Jadikan al-Quran penyelamat dan penunjuk dalam kehidupan dunia sehingga akhirat. Jangan kita tergelincir daripada al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi meminta ahli parti agar terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memperluaskan wilayah pentadbiran PAS ke negeri lain, dalam pilihan raya akan datang.

“PAS mentadbir empat negeri (selepas menang pilihan raya lepas), dengan kemampuan yang ada. Pada masa sama, usaha lagi untuk menang, dan tambah lagi negeri untuk ditadbir PAS.

“Apa yang mampu kita buat, kita laksanakan. Yang belum mampu, kita berusaha untuk melaksanakannya tanpa meninggalkan prinsip Islam,” katanya.

Beliau tegaskan, al-Quran akan terus menjadi panduan utama kepada umat Islam mahupun parti itu dalam menghadapi cabaran dunia sehingga akhir zaman.

“al-Quran tidak boleh dipadamkan. Sesiapa yang istiqamah dengan al-Quran akan selamat di dunia dan akhirat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments