Oleh: Ku Azizah Ku Hamid
LANGKAWI – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik pelancaran platform digital Mystravels.com yang diyakini mampu memperkukuh ekosistem pelancongan digital serta merancakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi dan negeri ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, inisiatif itu dilancarkan tepat pada masanya dan selari dengan perkembangan industri pelancongan global yang kini bergerak ke arah pendigitalan sepenuhnya.
“Dalam era digital ketika ini, pelancong cenderung membuat tempahan serta merancang perjalanan secara dalam talian. Kehadiran Mystravels membuka ruang yang lebih luas untuk mempromosikan produk pelancongan Langkawi dan Kedah ke peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis ‘Soft Launch Media Mystravels.com’ yang berlangsung di Parkroyal Langkawi Resort, di sini.
Menurut Mohd Salleh, platform berkenaan bukan sekadar menawarkan perkhidmatan tempahan, malah turut memberi peluang kepada pemain industri tempatan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran global.
“Kerajaan Negeri berharap Mystravels akan terus berkembang sebagai platform digital yang berdaya saing serta mampu memberikan impak positif kepada ekonomi negeri, khususnya dalam memperkasa sektor pelancongan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada seluruh pasukan yang menjayakan inisiatif tersebut dan berharap Langkawi akan terus kekal unggul sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia.

0 Comments