Oleh: Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
ADUN Kota Siputeh
Ketua Bahagian BERSATU Jerlun
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memuat naik kenyataan yang antara lain menggunakan istilah ‘melalak’ dalam menempelak pihak yang didakwa memanipulasi isu 3R.
Pada zahirnya, ia mungkin dimaksudkan sebagai teguran terhadap polemik di media sosial. Namun dalam konteks semasa, perkataan tersebut ditanggapi oleh sebahagian besar masyarakat Islam berbilang kaum dan orang Melayu sebagai satu bentuk sinisme terhadap kemarahan yang lahir daripada rasa terhina dan terancam atas isu yang mencela kedudukan, bukan sahaja masyarakat peribumi, malah masyarakat Islam berbilang kaum dalam negara ini.
Di sinilah persoalannya. Apabila berlaku penghinaan terhadap al-Quran, apabila ada tindakan biadab yang jelas menyentuh sensitiviti umat Islam, dan apabila wujud isu-isu berkaitan hak tanah orang Melayu serta masyarakat peribumi seperti dalam kes Kampung Sungai Baru, mengapa respons yang lahir daripada pimpinan tertinggi negara khususnya pemimpin Pakatan Harapan (PH) kelihatan keras terhadap reaksi umat Islam, tetapi tidak sekeras itu terhadap punca penghinaan?
Negara ini memang ditadbir oleh undang-undang. Namun undang-undang juga mesti dilihat berfungsi dengan adil, bukan sekadar sah dari segi prosedur.
Jika persepsi awam melihat bahawa pendekatan terhadap isu 3R hanya tegas apabila orang Melayu atau umat Islam bersuara, tetapi 'lunak' apabila penghinaan dilakukan oleh pihak lain, maka yang terjejas bukan sahaja reputasi politik, malah kestabilan sosial jangka panjang.
Isu 3R tidak boleh ditafsir sebagai alat untuk membungkam suara majoriti semata-mata. Ia mesti dilaksanakan secara konsisten.
Dalam kes demonstrasi membantah rumah anutan haram, terdapat amaran dan sekatan tegas daripada kerajaan. Tetapi apabila berlaku insiden memijak al-Quran atau menghina Islam secara terbuka, nada dan intensiti kenyataan politik tidak memperlihatkan ketegasan yang setara.
Ketiadaan kecaman yang jelas dan pantas daripada beberapa pimpinan utama hanya menguatkan persepsi bahawa sensitiviti umat Islam tidak ditangani dengan kesungguhan yang sama.
Dari sudut teori politik, Harold Lasswell pernah menegaskan, politik adalah persoalan “who gets what, when and how”. Siapa yang nak dimenangkan dalam isu penghinaan ini, siapa yang dijaga?
Persepsi bahawa keadilan diagihkan secara tidak seimbang akan mencipta rasa terpinggir.
Ibn Khaldun pula mengingatkan, asabiyyah atau solidariti sosial akan melemah apabila kelompok dominan merasakan diri mereka tidak lagi dilindungi secara adil oleh pemerintah. Rasa keterpendaman ini, jika dibiarkan, berpotensi menatijahkan ketidakstabilan.
Sedarlah, bahawa Islam sendiri tidak pernah mengajar umatnya menindas agama lain. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 menegaskan, manusia diciptakan berbangsa-bangsa untuk saling mengenali, bukan saling merendahkan.
Dalam Surah al-Baqarah ayat 256 pula ditegaskan, tiada paksaan dalam agama. Ulama seperti Imam al-Ghazali dan Muhammad Baqir al-Sadr menekankan bahawa keadilan adalah asas pemerintahan yang sah.
Bahkan maqasid syariah meletakkan pemeliharaan agama sebagai salah satu tujuan utama, namun tanpa menafikan hak keselamatan dan kehormatan agama lain.
Sejarah orang Melayu di tanah air ini tidak pernah mencatatkan dasar sistematik untuk mencela kitab agama lain atau memusnahkan rumah ibadat kaum lain (yang sah). Malaysia dibina atas kerangka Rukun Negara yang meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan sebagai prinsip utama. Prinsip ini bukan sekadar slogan, tetapi roh yang mesti dipelihara. Apabila al-Quran dihina, kemarahan umat Islam bukanlah bentuk ekstremisme, tetapi refleksi naluri mempertahankan maruah agama!
Namun mempertahankan maruah tidak sama dengan melanggar undang-undang. Di sinilah peranan kerajaan. Kerajaan wajib bertindak tegas terhadap pelaku penghinaan, bukan sekadar menasihati pihak yang marah supaya jangan ‘melalak’. Jika punca ditangani dengan adil, reaksi akan reda dengan sendirinya.
Dalam konteks masyarakat peribumi dan hak tanah Melayu, kes seperti Kampung Sungai Baru turut menimbulkan kegusaran tentang perlindungan hak tradisi. Jika masyarakat melihat bahawa suara mereka mudah dilabel sebagai 3R atau ekstrem, tetapi isu yang menyentuh sensitiviti mereka tidak diberi perhatian sewajarnya, maka persepsi dwistandard akan mengakar.
Selaku salah seorang pimpinan siyasah, saya ingin tegaskan isu ini bukan soal membela satu kaum dengan menindas kaum lain. Ini soal konsistensi prinsip. Jika penghinaan terhadap mana-mana agama adalah salah, maka ia salah tanpa mengira siapa pelakunya.
Jika demonstrasi aman adalah hak demokrasi, maka ia tidak boleh disekat hanya kerana ia menyuarakan kegusaran majoriti.
Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar dan PH kononnya sering menekankan nilai ihsan dan keadilan. Nilai ini hanya akan diyakini rakyat apabila ia dizahirkan secara seimbang. Jangan sampai 3R menjadi istilah yang hanya menekan satu pihak, sedangkan penghinaan terang-terangan terhadap Islam atau masyarakat peribumi dianggap terpencil dan tidak signifikan.
Umat Islam tidak pernah diajar untuk membalas kebiadaban dengan kebiadaban. Kita tidak membakar Bible, Veda atau Tripitaka. Kita percaya kemuliaan al-Quran tidak akan tercemar oleh tindakan jahil manusia! Namun pembelaan melalui saluran undang-undang adalah wajar sebagai pengajaran dan pendisiplinan.
Kerajaan mesti berhati-hati memilih diksi. Perkataan seperti ‘melalak’ boleh mencetuskan rasa terhina. Dalam masyarakat majmuk, bahasa adalah jambatan, bukan bara. Jika tidak ditangani dengan hikmah, ia boleh menatijahkan keterpendaman Melayu-Islam yang berbahaya.
Akhirnya, keadilan yang konsisten adalah kunci. Jika benar negara ini ditadbir oleh undang-undang, maka undang-undang mesti dilihat melindungi semua secara adil. Hanya dengan itu perpaduan yang tulen dapat diperkukuh, bukan perpaduan yang lahir daripada rasa takut atau terpaksa.
Malaysia memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja tegas, tetapi adil dalam persepsi dan tindakan. Kerana kestabilan negara ini tidak dibina atas emosi, tetapi atas keyakinan bahawa setiap warga, tanpa mengira agama dan kaum, dihormati maruahnya secara saksama.
Ternyata Anwar tidak ada formula ini, selayaknya berundur! Madani jelas semakin hancur!

0 Comments