Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Umat Islam dan institusi pendidikan agama diminta agar berwaspada terhadap pengaruh pemikiran liberal dan campur tangan asing yang boleh melemahkan sendi-sendi agama Islam.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ancaman tersebut bukan lagi bersifat teori, sebaliknya sedang bergerak secara halus melalui pelbagai saluran termasuk media sosial dan pembuat dasar.
“Saya ingin berpesan khususnya kepada institusi pendidikan agama agar sentiasa bersiap siaga dengan perubahan yang datang. Waspada terhadap pemikiran yang mahu melenturkan Islam mengikut acuan liberal. Kukuhkan pegangan kita agar tidak tunduk pada liberalisme.
“Jangan sampai suatu ketika nanti kurikulum pendidikan kita ditentukan oleh negara Barat,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengetua, mudir sekolah agama dan NGO Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Menurut beliau, terdapat laporan keselamatan mengenai penglibatan ejen perisikan asing termasuk Mossad yang didakwa merekrut pempengaruh media sosial bagi membentuk pandangan awam, khususnya dalam isu melibatkan Palestin.
Katanya, gerakan tersebut bertujuan meneutralkan pandangan dunia terhadap tindakan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin serta dasar kepimpinan Amerika Syarikat dan Israel ketika ini.
“Peranan mereka ini adalah untuk melemahkan sensitiviti umat Islam terhadap kezaliman yang berlaku, sehingga kita tidak mampu membantu sepenuhnya perjuangan Palestin,” ujarnya.
Sanusi berkata, Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira 600 juta penduduk dengan separuh daripadanya beragama Islam, kini berdepan perubahan pola politik dan pemikiran yang perlu ditangani secara bijaksana.
“Dua negara terbesar umat Islam di rantau ini, Malaysia dan Indonesia sedang melalui perubahan landskap politik dan pemikiran. Sebab itu kita perlu lebih berhati-hati agar pegangan tidak luntur,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menyeru semua institusi pengajian Islam di Kedah yang belum berdaftar supaya segera melaksanakan tanggungjawab dengan mendaftar di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Menurutnya, langkah itu penting bagi membolehkan institusi terlibat menerima bantuan serta perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Negeri.
“Tahun ini kita akan melipatgandakan usaha menyemarakkan pendidikan Islam di Kedah. Dengan komitmen berterusan, kita mahu melihat Islam terus mekar di bumi Kedah, mewarnai sistem pendidikan dan memacu kesejahteraan ummah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 48 buah Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Agama (38 buah), institusi tahfiz dan pondok (128) serta 46 buah madrasah di bawah JHEAIK yang istiqamah mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam.
“Usaha mereka ini mungkin tidak selalu mendapat sorotan, namun setiap keringat dan pengorbanan itu adalah saham akhirat yang tidak ternilai,” ujarnya.
Mengakhiri ucapan, Sanusi mengajak seluruh rakyat mendoakan agar Kedah terus dikurniakan keamanan dan kesejahteraan.
“Negeri Kedah Darul Aman tidak akan kuat dengan hanya pembangunan fizikal semata-mata. Ia akan kuat apabila rakyatnya kukuh akhlaknya dan saling menyayangi.
“Tidak ada yang lebih indah daripada melihat masyarakat bersatu dalam kasih sayang. Tidak ada yang lebih membahagiakan seorang pemimpin selain melihat rakyatnya hidup harmoni dan saling membantu,” katanya.

0 Comments