KETEGANGAN KAUM: PERANAN SEGERA, TELUS, ADIL PIHAK BERKUASA PENTING

 


Kenyataan Media

Oleh: Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS

PAS memandang serius ketegangan dan pertelingkahan terbuka melibatkan beberapa
pertubuhan dan individu beragama Hindu dengan sosok tertentu dalam kalangan
anggota masyarakat, terutamanya yang beragama Islam kebelakangan ini.

PAS menegaskan isu-isu berkait agama dan identiti kaum hendaklah ditangani dengan
penuh kebijaksanaan, sikap tenang dan kepekaan mendalam terhadap sifat asasi
masyarakat kita yang majmuk dan pelbagai.

PAS akur bahawa sensitiviti berkait agama, sejarah dan tempat ibadat adalah amat dekat dengan semua komuniti dan kumpulan masyarakat. Justeru ia hendaklah ditangani secara berhemah dan matang, tanpa provokasi atau sikap melampau daripada mana-mana pihak.

Percubaan untuk membingkaikannya dengan cara-cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak.

Dalam pada itu, peranan pihak berkuasa dalam mengurus ketegangan atau pertikaian yang berlaku dengan kadar segera, telus dan adil juga amat penting.

Penjelasan tepat, penguatkuasaan undang-undang yang adil dan tidak memihak serta
komunikasi krisis yang jelas daripada pihak berwajib sangat perlu bagi mengelakkan
salah faham, spekulasi dan prasangka atau peningkatan ketegangan yang tidak perlu.

PAS menggesa semua pihak - pemimpin, pertubuhan dan platform media - agar sentiasa bertindak dengan lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas atau
melaporkan isu-isu begini.

Pada masa-masa seperti sekarang Malaysia sangat memerlukan suara yang menenteramkan keadaan, bukan yang memarakkan ketegangan.

PAS akan terus komited kepada usaha dan matlamat memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat kita yang pelbagai latar 
belakang kepercayaan dan budaya, selain
kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin oleh undang-undang
Perlembagaan negara.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
11 Mac 2026

Post a Comment

0 Comments