Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Orang ramai khususnya anak Kedah termasuk yang berada di perantauan dijemput hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah yang akan berlangsung pada 27 Mac ini, di Seri Mentaloon.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, majlis yang bermula pada 5 petang hingga 11 malam pada 7 Syawal itu dijangka menerima kehadiran lebih ramai pengunjung berbanding tahun lalu kerana ketika itu masih dalam tempoh cuti sekolah.
Menurutnya, pihaknya memutuskan untuk menganjurkan majlis pada sebelah petang bagi mengelakkan ketidakselesaan ekoran cuaca panas kebelakangan ini yang melanda negeri ini.
“Cuaca di negeri ini agak panas kebelakangan ini, jadi kita putuskan untuk buat pada sebelah petang hingga malam supaya lebih selesa kepada pengunjung.
“Kalau kebiasaannya kita mula pukul 12 tengah hari, kita bimbang cuaca panas dan kurang sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2026 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sanusi berkata, beliau mengambil kesempatan menjemput semua rakyat Kedah termasuk yang pulang dari perantauan serta pengunjung dari luar Kedah untuk hadir memeriahkan majlis berkenaan.
“Saya jemput semua anak Kedah sama ada yang berada di negeri ini atau di perantauan, termasuk sesiapa sahaja yang berkunjung ke Kedah ketika itu.
“Jemputan ini juga dipanjangkan kepada pengikut saya di media sosial termasuk TikTok. Pakat mai semua ke Seri Mentaloon,” katanya.
Tambah beliau, majlis berkenaan bukan sahaja menyediakan pelbagai juadah istimewa, malah akan diserikan dengan persembahan pentas oleh artis terkenal seperti M. Nasir, Mawi, Haziq Rosebi, Oja serta Kumpulan NADA.
“Apabila ada rezeki, kita pakat rasa seorang sikit dan berkongsi kegembiraan. Kita raikan kemeriahan Syawal dalam suasana penuh kemesraan bersama,” katanya.

0 Comments