CUBAAN UMNO JADI ‘ABANG BESAR’ SEMULA MELALUI RUMAH BANGSA - SANUSI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Cadangan UMNO menubuhkan sekretariat Rumah Bangsa Malaysia dilihat sebagai usaha parti itu untuk kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik negara.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan tersebut merupakan keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO dan terpulang kepada parti itu untuk melaksanakannya.

“Pada pandangan saya itu cubaan UMNO untuk berkuasa kembali dan menjadi ‘abang besar’ semula. Itu keputusan yang dibuat pada perhimpunan agung, jadi dia laksanakan sajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2026 di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu, PAS belum membincangkan secara rasmi mengenai cadangan tersebut di peringkat parti.

Sanusi bagaimanapun berharap UMNO benar-benar ikhlas sekiranya mahu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

“Masa UMNO sesak, dia cari orang Melayu. Pasai dia nak berkuasa jadi dia cari kita (PAS). Masa dia seronok, dia cari DAP jadi kerajaan sekali… itulah UMNO. Kita harap UMNO insaf dan benar-benar ikhlas untuk tengok orang Melayu,” katanya.

Secara sinis Sanusi mempersoalkan cadangan berkenaan yang dilihat belum jelas sama ada inisiatif itu benar-benar membawa makna perpaduan.

“Tak tahu lah politik zaman sekarang macam mana… rumah bangsa kah atau rumah pangsa?” soalnya.

Mengulas kemungkinan PAS menyertai inisiatif tersebut, Sanusi tegaskan, perjuangan parti itu kekal berteraskan prinsip Islam dan Melayu serta memperkukuhkan perpaduan ummah.

“Dalam perjuangan PAS, nombor satu prinsip kita ialah Islam Melayu dan usaha kukuhkan perpaduan ummah. Mana-mana yang nak mari, silalah, tak kira UMNO atau mana-mana parti, asalkan selari dengan prinsip itu,” katanya.

Menurutnya, kerjasama politik masih boleh dipertimbangkan namun perlu berasaskan keikhlasan dan bermatlamatkan untuk mengembalikan kuasa politik orang Islam.

“Jangan masa lemah saja rapat orang, masa berlagak pi duduk rejam orang pula. Kena ikhlas, orang boleh nampak ikhlas atau tidak. Sekarang bukan dunia berlakon, jangan sembunyi, cakap terus terang, semua orang tahu,” katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan PN menegaskan kepentingan memperkukuh kuasa politik umat Islam amat penting bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara.

“Pertama sekali, kekuatan ummah dan perpaduan umat Islam. Kuasa politik di tangan orang Islam penting untuk jaga kepentingan penduduk negara ini supaya harmoni dan bersatu padu. Kalau kuasa politik orang Islam hilang, kacau bilau habis. 

“Semua orang nak bercakap, semua orang ada kepentingan yang sama banyak. Semua rasa dia hebat, berselerak habis. Jadi kuatkan dulu politik orang Islam agar dapat menjaga keharmonian semua kaum yang ada di negara ini,” katanya.

Dalam masa sama, Sanusi berkata, Islam tidak membenarkan penindasan mahupun diskriminasi termasuk melakukan kezaliman dan kita wajar berpegang sepenuhnya kepada ajaran Islam tersebut.

Dalam perkembangan lain berkaitan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, Sanusi berkata, pemilihan calon paling sesuai akan diputuskan oleh ahli-ahli Parlimen sendiri.

“Ketua pembangkang di Parlimen dilantik oleh ahli-ahli Parlimen, bukan oleh parti. Ahli Parlimen akan bincang dan tentukan siapa yang sesuai,” katanya.


Post a Comment

0 Comments