Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Aduan gangguan bekalan air di Kedah menjelang musim perayaan berjaya dikurangkan secara drastik dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hasil pelaksanaan pelan kontingensi oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah berkenaan terbukti berkesan terutama dalam menangani peningkatan penggunaan air ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, pelan kontingensi yang dirangka sejak beberapa tahun lalu melibatkan penyediaan pelbagai kemudahan termasuk pam penggalak (booster pump), tangki air dan takungan (reservoir) serta langkah pengagihan bekalan secara lebih sistematik.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, menjelang musim perayaan, aduan tidak banyak seperti dahulu kerana kita telah siapkan pelan kontingensi untuk mengatasi peningkatan penggunaan air.
“Sekarang ini agihan sudah lebih baik, tekanan air di banyak kawasan telah distabilkan. Bagi kawasan yang tidak sampai bekalan, kita gunakan booster pump,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi SADA berkata, penggunaan lori tangki air juga berjaya dikurangkan secara ketara dan hanya melibatkan beberapa lokasi tertentu sahaja.
“Agihan menggunakan lori kini hanya di dua atau tiga tempat dan tidak sebanyak dahulu. Di kawasan berhampiran, kita gunakan lori milik SADA sendiri tanpa perlu kontraktor luar.
“Hanya kawasan jauh seperti di Sik memerlukan khidmat lori sewaan, tetapi jumlahnya sangat minimum,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, operasi bekalan air kini lebih bergantung kepada infrastruktur sedia ada berbanding kaedah penghantaran menggunakan lori seperti sebelum ini.
Tambah beliau, SADA juga sentiasa bersedia dengan pelan tindakan bagi menghadapi sebarang situasi selain memperkenalkan sistem aduan dalam talian bagi memudahkan pengguna.
“Sekarang semua aduan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web SADA. Ini memudahkan pemantauan dan tindakan segera.
“Saya bersyukur dengan pencapaian ini yang membolehkan perkhidmatan bekalan air di Kedah terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

0 Comments