FOKUS PERKUKUH PN, BUKAN ISU CALON PM

 

 “Muhyiddin juga bukan lagi calon PM” - Samsuri 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, keutamaan gabungan itu ketika ini adalah memperkukuhkan muafakat dan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya, bukannya membincangkan soal calon Perdana Menteri.

Menurut beliau, perkara itu dijelaskan susulan banyak pertanyaan media berhubung kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai status jawatan berkenaan.

Naib Presiden PAS itu berkata, fokus utama PN pada masa ini ialah mengukuhkan kesepaduan dalam gabungan serta memperkukuh sokongan rakyat di seluruh negara.

“Saya mendapat banyak pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘Dr Sam adalah Pengerusi Perikatan Nasional dan bukan calon PM’.

“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya pada Khamis.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan, Muhyiddin juga bukan lagi calon Perdana Menteri.

“Yang pasti Tan Sri Muhyiddin juga bukan lagi calon PM,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam satu wawancara khas memaklumkan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN tidak bermaksud Menteri Besar Terengganu itu merupakan calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.

Muhyiddin dilaporkan berkata, isu calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi gabungan tersebut dan pelantikan Ahmad Samsuri dibuat berdasarkan cadangan PAS  yang mahu memberi ruang kepada kepimpinan lebih muda.

Tambah Muhyiddin, masih terlalu awal untuk menilai prestasi Ahmad Samsuri dan menyatakan beliau perlu diberikan peluang.

“Tetapi jika ingin naik satu langkah lebih tinggi untuk menjadi calon jawatan Perdana Menteri, itu adalah perkara lain dan tak dibincang pun lagi.

“Bagi dia (Ahmad Samsuri) peluang, dia orang berkelayakan. Pengalaman kurang sikit tapi mana tahu, bila sudah dicuba, diberi peluang dan kesempatan, dia mampu menunjukkan kebolehan. Saya rasa okey (tak ada masalah),” jelas beliau.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN, selepas meletakkan jawatan Pengerusi PN, beliau berpendirian PAS perlu mengambil alih jawatan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan senada apabila menjelaskan pelantikan tersebut adalah bagi tujuan pengurusan parti dan bukannya pengisytiharan calon pemimpin nombor satu negara.

Post a Comment

0 Comments