IMPIAN PESAKIT KANAK-KANAK KANSER OTAK TAHAP EMPAT KE LANGKAWI AKAN TERCAPAI

 

Oleh: Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR - Impian seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser otak tahap empat untuk bercuti ke Pulau Langkawi bersama keluarganya akan terlaksana apabila ditawarkan pakej percutian selama tiga hari dua malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, impian Adik Nur Umairah Abdul Rahman, 12, akan dipenuhi selepas berakhirnya Ramadan ini.

Menurutnya, beliau tersentuh selepas membaca kisah Nur Umairah di media yang menyuarakan hasrat untuk bercuti ke Langkawi bersama keluarganya, namun tidak dapat direalisasikan sebelum ini kerana kekangan kewangan.

“Apabila dapat bertemu sendiri dengan Adik Umairah dan mendengar kisah hidupnya sendiri serta daripada ibunya, hati saya benar-benar tersentuh.

“Walaupun diuji dengan penyakit yang sangat berat pada usia begitu muda, Adik Umairah tetap menunjukkan semangat serta ketabahan luar biasa,” katanya.

Mohd Salleh berkata, keputusan menaja percutian itu diputuskan selepas beliau menerima kunjungan kanak-kanak berkenaan, di Wisma Darul Aman, baru-baru ini.

Tambah beliau, Nur Umairah yang menghidap kanser otak tahap empat jenis medulloblastoma telah berjuang melawan penyakit tersebut sejak tahun 2020.

Menurutnya lagi, hatinya turut tersentuh melihat pengorbanan ibu kanak-kanak itu yang memberikan sepenuh perhatian menjaga anaknya sepanjang tempoh rawatan walaupun keluarga mereka hidup dalam keadaan serba sederhana.

“Insya-ALLAH saya akan berusaha merealisasikan impian Adik Umairah untuk bercuti ke Pulau Langkawi bersama keluarganya selepas Ramadan nanti.

“Harapan saya, percutian ini dapat memberikan kegembiraan, ketenangan serta kenangan indah buat Adik Umairah dan keluarganya,” katanya.

Mohd Salleh turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar Nur Umairah terus diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusannya.

Post a Comment

0 Comments