Oleh: Ustaz Iliyas Ahmad
Pemangku Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Terap
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Terap mengecam sekeras-kerasnya kenyataan dan pendekatan longgar pihak kerajaan dalam menangani isu penghinaan terhadap Al-Quran yang jelas mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.
Lebih mengecewakan apabila terdapat pimpinan kerajaan sendiri yang dilihat cuba meremehkan isu ini atas nama “taaruf” dan toleransi, seolah-olah maruah agama Islam boleh dikompromi demi menjaga imej politik tertentu.
Pemuda PAS Padang Terap ingin menegaskan bahawa menghina Al-Quran bukan isu persepsi, bukan isu komunikasi, dan bukan isu salah faham. Ia adalah penghinaan terhadap agama Islam yang mempunyai garis merah yang tidak boleh dilangkaui.
Sikap kerajaan yang terus mengambil pendekatan lembut, sekadar nasihat dan kompromi, memberi isyarat berbahaya bahawa penghinaan terhadap Islam boleh dilakukan tanpa akibat serius. Pendekatan sebegini bukan sahaja gagal menjadi pengajaran, malah menggalakkan keberanian pihak tertentu untuk terus mencabar sensitiviti umat Islam.
Kami mempersoalkan:
• Mengapa tindakan tegas begitu cepat diambil dalam isu lain, tetapi menjadi perlahan apabila melibatkan penghinaan terhadap Islam?
• Adakah kerajaan hari ini lebih takut kepada tekanan politik berbanding menjaga kesucian agama Persekutuan?
Dewan Pemuda PAS Padang Terap mendesak agar:
1. Tindakan undang-undang maksimum dikenakan tanpa campur tangan politik.
2. Kerajaan menghentikan naratif normalisasi penghinaan agama atas alasan perpaduan palsu.
3. Menteri berkaitan tampil mempertahankan kesucian Islam dengan pendirian jelas, bukan kenyataan yang mengelirukan rakyat.
Pemuda PAS Padang Terap memberi amaran bahawa *kesabaran umat Islam bukan tanda kelemahan*, dan kegagalan kerajaan bertindak tegas hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mempertahankan agama Islam.
Islam wajib dihormati.
Al-Quran bukan bahan eksperimen sosial.
Dan maruah agama bukan alat diplomasi politik.
“Apabila kerajaan gagal menjaga garis merah agama, rakyat akan bangkit mempertahankannya.”
Sekian.

0 Comments