Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Fenomena bunga Tekoma yang kembali mekar saban tahun di bandar raya Alor Setar bukan sekadar menceriakan panorama, malah menjadi tarikan bermusim yang dinanti-nantikan penduduk serta pelancong.
Deretan pokok dihiasi bunga merah jambu, putih, ungu dan kuning mencetuskan suasana memukau di setiap laluan utama.
Digelar ‘Sakura Kedah’, pokok Tekoma atau Tabebuia rosea mencuri tumpuan di pusat bandar khususnya sepanjang Jalan Kuala Kedah apabila gugusan bunganya yang berguguran menutupi permukaan jalan, seakan-akan hamparan Sakura di Jepun.
Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, sebanyak 1,842 pokok Tekoma ditanam sejak 26 tahun lalu dan menjadi identiti landskap bandar raya ini apabila kembali mekar setiap Februari hingga Mac, sekali gus menghidupkan gelaran ‘Sakura Kedah’.
“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menanam pokok berkenaan sebagai pokok teduhan dan landskap hijau di beberapa lokasi strategik sekitar bandar.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 1,100 pokok ditanam di Jalan Utama, 38 pokok di pusat bandar dan 704 pokok di taman awam,” katanya.Tambah beliau, pokok Tekoma biasanya mula berbunga pada penghujung musim kemarau sebagai petanda musim hujan bakal tiba.
“Ketahanan bunga bergantung kepada cuaca, namun ia mekar penuh ketika cuaca panas,” katanya.
Abdul Gafar berkata, MBAS merancang menjadikan Tekoma sebagai tarikan landskap utama menerusi Projek Urban Forest 1 dan 2 yang bertujuan mewujudkan landskap ikonik selain kawasan rekreasi dan interaksi komuniti.
“Inisiatif ini selaras dengan komitmen MBAS untuk memperbanyak kawasan hijau bandar serta menyokong kelestarian alam sekitar,” katanya.
Pokok Tekoma berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan, semakin sinonim dengan bandar raya ini apabila setiap kali musim berbunga, deretan pokoknya mencipta panorama memukau dan menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam kenangan.
Pokok Tekoma turut dikenali sebagai pohon Cherry Blossom tempatan kerana bunganya yang lebat dan menyerupai Sakura.
Antara spesies yang ditanam MBAS termasuk Tabebuia pallida (putih), Tabebuia rosea (merah jambu), Tabebuia pentaphylla (ungu) dan Tabebuia argentea (kuning).




0 Comments