“PERTAHANKAN AKIDAH, TOLAK PLURALISME” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Umat Islam diingatkan supaya teguh mempertahankan akidah serta menolak fahaman pluralisme agama yang menganggap semua agama adalah benar.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pegangan umat Islam adalah berasaskan wahyu ALLAH SWT dan tidak boleh digadai atas alasan menjaga hati mana-mana pihak atau atas nama perpaduan.

“Kita tidak boleh sekali-kali mengatakan ajaran agama lain itu benar seperti Islam. Akidah kita tidak membenarkan perkara itu walaupun agama lain juga mengajar perkara yang baik dari sudut moral,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pegawai Kerajaan Negeri (KCS), Pegawai Agama, Penghulu Mukim, Pegawai Persekutuan dan Penghulu di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Menurut Sanusi, umat Islam kini berdepan cabaran semakin berat, sama ada di dalam mahupun luar negara, termasuk penyebaran fitnah dan pelbagai tohmahan terhadap Islam.

“Kita hidup dalam zaman fitnah yang berleluasa. Islam dituduh dengan pelbagai tohmahan sedangkan Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna.

“Orang yang berpegang teguh kepada Islam dianggap pelik dan terasing, manakala yang mungkar pula dilihat benar serta dipertahankan, termasuk oleh orang Islam sendiri,” ujarnya.

Sanusi berkata, kebimbangan terhadap isu yang menyentuh akidah perlu ditangani dengan kesabaran dan keteguhan iman.

“Bersabar bukan bermaksud berdiam diri, tetapi teguh mempertahankan akidah dan keimanan dalam menghadapi ujian akhir zaman,” katanya.

Beliau turut mendakwa isu sensitif berkaitan agama dan kaum dilihat semakin ‘parah’ apabila parti seperti DAP berada dalam kerajaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada pihak merasakan mereka mempunyai sokongan untuk melakukan perkara yang melanggar undang-undang, selain mendakwa terdapat pemimpin kerajaan yang terlalu menjaga sokongan bukan Melayu demi mengekalkan kuasa.

“Situasi itu boleh melonggarkan sendi-sendi perpaduan masyarakat yang telah lama terjalin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bimbang fahaman pluralisme kini yang meresap secara halus khususnya kalangan generasi muda sehingga perkara yang dahulunya dianggap janggal kini dinormalisasikan.

“Apabila kita menolak, kita dianggap antiperpaduan, pelampau agama dan ekstremis. Perbezaan agama kini dianggap sama seperti perbezaan budaya. Sebab itu ada yang mempersoalkan mengapa pijak al-Quran dianggap penghinaan. Ini sangat membimbangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sanusi turut menyentuh konflik di Timur Tengah melibatkan serangan antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran yang menurutnya berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Sudah tentu perang ini akan memberi kesan langsung kepada kita, terutama dari segi ekonomi kerana di situlah terletaknya sumber bekalan minyak dan gas utama dunia,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta pihak yang menyumbang kepada kemakmuran Kedah.

Menurutnya, antara kejayaan signifikan negeri ialah pencapaian pelaburan tinggi secara konsisten sejak pelaksanaan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Dalam tempoh enam tahun berturut-turut sejak 2021, tahun bermulanya Pelan Pembangunan Kedah 2035, kita tidak pernah gagal melepasi sasaran pelaburan tahunan RM10 bilion. 

“Ini pencapaian luar biasa yang meletakkan Kedah dalam peta pelaburan utama negara. Semoga kerjasama ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments