LIF GUNUNG KERIANG DIBAIK PULIH DALAM MASA TERDEKAT

 

Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR - Lif di Gunung Keriang yang terbiar hampir sedekad lalu akan dibaik pulih dalam masa terdekat bagi mengembalikan daya tarikan lokasi pelancongan ikonik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, pengoperasian semula lif berkenaan penting bagi mengembalikan ‘seri’ Gunung Keriang sebagai aset pelancongan bernilai yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Menurut beliau, selain meningkatkan aspek keselamatan dan kemudahan pengunjung, kawasan persekitaran Gunung Keriang juga perlu diberikan nafas baharu agar dapat merancakkan sektor pelancongan.

“Projek ini sepatutnya dimulakan tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa isu teknikal yang perlu diperincikan dan dipastikan mematuhi aspek keselamatan.

“Kita tak mahu biarkan lif itu terus tersadai, keputusan dicapai untuk membaik pulih dan memperbaiki kerosakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menara Lif serta Jambatan Gantung Keriang, di Wisma Darul Aman.

Menurut Mohd Salleh, mesyuarat yang turut disertai Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju supaya kerja-kerja baik pulih dimulakan segera selepas isu teknikal diselesaikan.

“Pengoperasian semula lif itu dijangka memberi nafas baharu kepada tarikan pelancongan di sekitar Gunung Keriang dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri tidak mahu kemudahan berkenaan terus tersadai dan akan memastikan ia dapat digunakan semula dalam memperkasakan potensi Gunung Keriang sebagai antara destinasi pelancongan utama negeri ini.

Lif tersebut dibina berhampiran Gunung Keriang sebagai kemudahan kepada pelawat untuk mengakses kawasan gua dan laluan pejalan kaki di bahagian atas menerusi jambatan gantung. 

Namun, kemudahan itu dihentikan operasinya sejak lebih 10 tahun lalu.

Projek berkenaan dilaksanakan sempena Tahun Melawat Kedah 2016, namun selepas siap dipasang, lif tersebut terbiar tanpa dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengunjung.

Post a Comment

0 Comments