Amal Nabila
POKOK SENA - Permohonan kerja-kerja penyelenggaraan perparitan sawah padi di Kampung Telaga Mas yang sebelum ini menjejaskan lebih 300 relung sawah padi diluluskan dan kini hanya menunggu peruntukan disalurkan untuk dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, perkara itu dimaklumkan oleh wakil Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu pertemuan rasmi bagi membincangkan isu air bertakung di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan secara terus antara semua pihak terlibat dalam usaha mencari penyelesaian terbaik dan menyusun perancangan lebih teratur bagi menangani masalah pengurusan air di kawasan sawah padi secara berperingkat.
“Masalah ini telah berlarutan beberapa musim dan memberi kesan kepada jadual penanaman serta pendapatan pesawah.
“Kita berharap peruntukan dapat disalurkan segera supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Penolong Jurutera MADA Hutan Kampung, Mohd Azli Abu Seman, hari ini.
Ustaz Salim menegaskan, kerja penyelenggaraan berkenaan perlu disegerakan bagi memastikan sistem saliran kembali berfungsi dengan baik sekali gus mengelakkan masalah sama berulang pada musim akan datang.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan kebajikan pesawah Telaga Mas terus diberi perhatian sewajarnya.
Pada Selasa, lebih 300 relung sawah padi di sekitar Kampung Telaga Mas dilaporkan terjejas teruk akibat masalah air bertakung yang berlarutan walaupun ketika musim kemarau.
Hasil tinjauan mendapati punca utama masalah berkaitan adalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan air gagal surut seperti sepatutnya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan aktiviti pertanian dan sumber pendapatan pesawah di kawasan terbabit terjejas.
ARTIKEL BERKAITAN:
https://www.facebook.com/mediaupda/posts/pfbid02gu7TqwFiiJDUmj2TiQH5uFWVwSCN3FjsGsZDkiydfBoB5296tkBs75bLH5tHnt3Gl

0 Comments