MESIR DIPELAWA MELABUR DI NEGERI SG4, TINGKATKAN PERDAGANGAN DUA HALA

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah bersama rakan-rakan SG4 mempelawa pelabur Mesir untuk meneroka peluang pelaburan di Kedah, Terengganu, dan Kelantan, sebagai langkah memperkukuh kerjasama ekonomi dan meningkatkan nilai perdagangan dua hala yang masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi misi promosi pelaburan ke Mesir bertujuan memperkenalkan potensi negeri-negeri SG4 kepada syarikat berpotensi dari negara itu.

Menurut beliau, misi perdagangan itu penting memandangkan nilai perdagangan Malaysia-Mesir pada 2024 hanya sekitar RM3 bilion setahun berbanding keseluruhan nilai perdagangan Malaysia yang mencecah RM2.9 trilion dalam tempoh sama.

“Masih banyak ruang untuk diterokai dan dipertingkatkan. Terlalu banyak persamaan serta keperluan yang saling melengkapi antara Mesir dan Malaysia, khususnya Kedah. Usaha ini juga akan memperkasakan segmen import-eksport antara syarikat negeri SG4 dan rakan niaga di Mesir,” katanya ketika mengetuai delegasi SG4 ke Kaherah baru-baru ini.

Delegasi SG4 turut disertai Exco Pelaburan Terengganu, Haji Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman; Timbalan Exco Pelaburan Kelantan, Mohamad Nasriff Daud, serta wakil SG4 Berhad, Muhd Khidhir Izaidin. 

Program anjuran bersama Kedutaan Malaysia di Mesir dan MATRADE Mesir itu turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Mesir merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Mesir-Malaysia, Dr. Sherif El Gabaly, serta dihadiri lebih 50 syarikat Mesir dari pelbagai industri.

Haim Hilman turut menekankan bahawa hubungan diplomatik yang lama terjalin antara Malaysia dan Mesir perlu diterjemahkan kepada kerjasama ekonomi yang lebih agresif, selain wujudnya sejarah pendidikan yang kukuh sejak sebelum Malaysia merdeka.

“Nilai perdagangan dan pelaburan sedia ada masih belum mencapai potensi sebenar dan wajar  diterokai lebih menyeluruh.

“Sebelum Malaysia merdeka lagi dan sehingga kini, ratusan ribu rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan institusi pengajian tinggi lain di Mesir, sekali gus membentuk hubungan sosial dan budaya yang kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Mesir, Rafidah Abdul Aziz, memaklumkan nilai perdagangan dua hala pada 2025 mencapai AS$720 juta, dengan eksport Malaysia berjumlah AS$600 juta dan eksport Mesir ke Malaysia AS$120 juta. 

“Mesir kekal antara 10 rakan dagang utama Malaysia di benua Afrika dalam tempoh lima tahun lalu dan angka tersebut menjadi asas kukuh untuk mempertingkatkan kerjasama ke tahap perkongsian lebih strategik,” katanya.

Melalui program “Discover Malaysia 2026”, Kedutaan Malaysia di Kaherah berusaha menghidupkan semula momentum perdagangan dan pelaburan, memastikan potensi sebenar hubungan Malaysia-Mesir dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Post a Comment

0 Comments