Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Beberapa jam selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencuri perhatian apabila memuat naik status di media sosial gambar pertemuannya bersama pimpinan tertinggi PAS di Rusila, Terengganu.
Foto yang dikongsikan di Facebook miliknya pada malam Jumaat itu, disertakan kapsyen ringkas namun penuh makna.
"Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang," tulis beliau ringkas.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai tafsiran politik, khususnya dalam kalangan pemerhati yang melihat perkembangan itu sebagai isyarat penting susulan kemelut dalaman BERSATU.
Menerusi gambar yang dikongsikan Hamzah, turut kelihatan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Sementara wakil BERSATU dihadiri oleh Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan dua ahli parti itu yang dipecat keahlian, iaitu Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Terdahulu pada Jumaat, seramai 17 pemimpin ditamatkan keahlian oleh Lembaga Disiplin BERSATU. Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui notis rasmi pada hari sama.
Selain Hamzah, tiga lagi Ahli Parlimen yang dipecat ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Turut menerima nasib sama ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli MPT BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan tidak menghadiri prosiding Lembaga Disiplin di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya. Difahamkan, Ahli Parlimen Larut itu berada di Sydney, Australia bagi menguruskan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari untuk hadir ke prosiding berkenaan.
Pemecatan tersebut dipercayai berkait dakwaan penglibatan beliau dalam kritikan dan serangan terhadap Presiden parti, rundingan berkaitan Presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN), selain didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Parlimen turut dikaitkan dengan usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan parti sebelum ini.
Pertemuan di Rusila itu sekali gus menambah warna baharu dalam landskap politik pembangkang, ketika spekulasi mengenai langkah seterusnya Hamzah terus menjadi perhatian.
SENARAI 17 AHLI BERSATU YANG DIPECAT
1 - Datuk Seri Hamzah Zainudin (Timbalan Presiden BERSATU, Ahli Parlimen Larut)
2 - Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Ahli Parlimen Machang)
3 - Kapten Azahari Hasan (Ahli Parlimen Padang Rengas)
4 - Fathul Huzir Ayob (Ahli Parlimen Gerik)
5 - Datuk Zainol Fadzi Paharudin (ADUN Sungai Manik, Ahli MPT BERSATU)
6 - Dr Mohd Yadzil Yaakub (ADUN Bemban)
7 - Mohd Hassundi Hamzah (Ketua Bahagian BERSATU Larut)
8 - Yunus Haji Nurdin (Ketua Bahagian BERSATU Libaran)
9 - Datuk Abdul Aziz Ismail (Ketua Bahagian BERSATU Dungun)
10 - Ahmad Nasir Mid (Ketua Bahagian BERSATU Selayang)
11 - Ahmad Ishak (Ketua Bahagian BERSATU Gopeng)
12 - Kamaruddin Majid (Ketua Bahagian BERSATU Teluk Intan)
13 - Datuk Zulkifli Bujang (Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru)
14 - Ramlan Meon (Ketua Bahagian BERSATU Tangga Batu)
15 - Mhod Yunus Yusop (Ketua Bahagian BERSATU Tapah)
16 - Nabila Norsahar (Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah)
17 - Mohamad Shafiq Abdul Halim (Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat)

0 Comments