Penyatuan UMNO-PAS di Melaka: kenapa parti lain menggelupur - Akmal

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara sinis mempersoal pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan beliau mengenai penyatuan UMNO dan PAS di Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, agak menghairankan apabila kritikan tersebut dilakukan oleh ahli dari parti lain, selain UMNO dan PAS.

“Yang dicadang untuk UMNO dan PAS. Tapi yang menggelupur orang parti lain pula. Kesian,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook miliknya pada Khamis.

Sehari sebelum itu, Muhamad Akmal dalam sesi temu bual podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mencadangkan penyatuan Melayu antara dua parti terbesar, UMNO dan PAS perlu segera dimulakan di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Cadangan itu bagaimanapun mengundang reaksi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin yang mendakwa pandangan disuarakan Muhamad Akmal mencerminkan kegelisahan politik yang sedang melanda UMNO.

Danish menegaskan, cadangan berkenaan tidak menimbulkan ketakutan kepada AMK, sebaliknya yakin ia membuka ruang lebih luas kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menyifatkan kenyataan Muhamad Akmal bukan lahir daripada kekuatan, tetapi kebimbangan terhadap realiti sokongan rakyat hari ini, selain percubaan menghidupkan semula naratif lama yang sudah ditolak rakyat dalam beberapa pilihan raya lalu.

Muhamad Akmal ketika mencadangkan penyatuan UMNO-PAS menegaskan, penyatuan dua parti Melayu terbesar berkenaan tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut pembahagian kerusi atau kekuatan parti dalam pilihan raya.

 “Kalau kita tengok berdasarkan keputusan, kita menang 21 daripada 28 kerusi, PAS kosong. Kekuatan PAS pun tak berapa sangat di Melaka.

“Kita buktikan boleh buat atau tidak di Melaka, kalau tak boleh buat (Melaka) maksudnya dia tak boleh jadilah di semua tempat lain. Sebab di Melaka, PAS kosong maksudnya UMNO kena bagi kerusi kepada PAS. 

“Isu penyatuan Melayu ini bukan soal kerusi. Sudah tiba masanya orang Melayu duduk bersama. Kita bukan perlu buktikan pada PRU, kita mesti mula segera. Kenapa UMNO dengan PAS? Sebab ini adalah dua parti Melayu terbesar,” ujarnya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, UMNO memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Muhamad Akmal jelaskan, pendirian tersebut bukan bermaksud menolak parti lain seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sebaliknya menekankan penyatuan Melayu perlu dimulakan dengan UMNO dan PAS selaku dua parti Melayu terbesar.

“Kita terima (parti lain), tak ada masalah. Tapi penyatuan untuk Melayu ini mesti dimulakan dengan dua parti Melayu terbesar terlebih dahulu,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan mendapat bantahan kalangan ahli UMNO sendiri, khususnya di Melaka, beliau akui mungkin pandangannya itu tidak disenangi ramai.

"Apabila kita bercakap tentang penyatuan orang Melayu, ia melebihi soal kepentingan parti. Kita tidak boleh hanya bercakap retorik, sebaliknya pemimpin perlu mulakan pada diri sendiri,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung konsep ‘Rumah Bangsa’ yang membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mempunyai jiwa dan perjuangan sama untuk bersama UMNO.

Menurutnya, penyatuan Melayu bukan bertujuan mengambil hak kaum lain, sebaliknya demi memperkukuh kedudukan politik orang Melayu, ekoran perpecahan orang Melayu kepada terlalu banyak parti politik mengakibatkan suara golongan itu menjadi minoriti.

Beliau turut mendakwa wujud keresahan kalangan orang Melayu di peringkat akar umbi yang merasakan kedudukan mereka tidak lagi kukuh dalam landskap politik semasa.

Post a Comment

0 Comments