DAKWAAN ‘MB KEDAH BAGI TANAH RIZAB UNTUK KUIL’ TIDAK TEPAT, KENYATAAN DIMANIPULASI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Dakwaan tular di media sosial kononnya Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi tanah rizab kerajaan untuk pembinaan kuil serta lapan tapak kuil diberikan bagi menggantikan kuil yang dirobohkan, adalah tidak tepat dan bertujuan mengelirukan orang ramai.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abdul Hamid berkata, lapan kuil yang diberikan Sijil Rizab atau Reserved Certificate (RC) bukanlah sebagai ganti kepada kuil-kuil yang dirobohkan itu.

Menurutnya, lapan kuil yang menerima RC ini melalui prosedur sah di sisi undang-undang, bermula dengan proses penyerahan tanah kepada Setiausaha Kerajaan (SUK), proses semakan, sehingga pemilikan RC diluluskan.

“Pandangan yang ditularkan sebegitu boleh membawa naratif yang menyimpang daripada realiti yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ku Abd Muhyi, perobohan yang dilakukan di Alor Setar dan Kuala Kedah pada tahun 2020 itu adalah kerana binaan terbabit melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada selepas proses rundingan tidak mencapai penyelesaian.

“Prinsip yang kita pegang jelas, mana-mana binaan yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang, maka tindakan sewajarnya diambil,” ujarnya.

Beliau tegaskan, pemilikan tanah tersebut bukan kerana menggantikan kuil yang dirobohkan, sebaliknya hasil permohonan mengikut proses di bawah garis panduan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

“Tanah berkenaan juga bukan tanah rizab kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya diletakkan di bawah SUK sebagai sebahagian daripada proses permohonan RC.

“Pihak yang cuba manipulasi kenyataan tersebut, faham atau tidak konsep Sijil Rizab atau RC itu? Jangan ada pihak luar cuba tunjuk pandai kalau tak faham hujung pangkal isu, sehinggakan isu lama dibangkitkan kembali,” katanya lagi.

Tambah beliau, adalah tidak wajar untuk memanipulasi kenyataan untuk disensasikan bagi kepentingan tertentu atau cuba mewujudkan imej negatif terhadap Menteri Besar Kedah.

“Saya kesal apabila ada pihak suruh orang ikut undang-undang, tetapi dia sendiri perlu faham undang-undang tersebut,” katanya.

Isu kuil kembali hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diberi keizinan merobohkan rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada 9 Februari, Anwar menegaskan walaupun keputusan itu berpotensi mengundang kontroversi, undang-undang negara perlu dihormati semua pihak.

Rentetan itu, Kedah turut terpalit dengan isu sensitif tersebut apabila ada pihak tertentu cuba mengaitkan isu semasa dengan kenyataan lama oleh Sanusi, yang kemudian disunting sebahagian dan dimuat naik semula di media sosial seolah-olah ia kenyataan baharu berhubung isu berkenaan.

Antara yang kembali ditularkan, kenyataan pada Januari 2021 mengenai kelulusan permohonan rizab tanah oleh Pertubuhan Pengurusan Sri Muniswarar Alayam bagi tapak kuil Hindu di Ladang Henrietta, Bandar Padang Serai, Kulim.  

Ketika itu, Sanusi menjelaskan kelulusan diberi kerana permohonan berkenaan mematuhi prosedur dan sah di sisi undang-undang, selain mencerminkan sikap adil kerajaan negeri terhadap semua kaum.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 22 April 2025, Kerajaan Negeri Kedah menegaskan pendekatan berhemah dan harmoni menjadi keutamaan dalam menangani isu pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran sah.

Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, NGO negeri, Wong Chia Zhen berkata, setiap pembinaan atau permohonan tapak RIBI perlu mendapatkan kelulusan PBT seperti termaktub dalam undang-undang sedia ada.

Menurutnya, pada ketika itu, lima permohonan tapak tanah kerajaan untuk RIBI telah diluluskan, melibatkan empat secara rizab dan satu secara pemberimilikan di daerah Kuala Muda.

Beliau tegaskan komitmen itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa menyeimbangkan keperluan masyarakat majmuk dengan aspek perundangan, perancangan serta keharmonian antara agama.

Chia Zhen turut mengingatkan agar isu sensitiviti kaum dan agama perlu ditangani secara berhati-hati selain tidak dijadikan modal politik pihak tertentu.

Post a Comment

0 Comments