GENERASI BERILMU, BERAKHLAK TUNJANG THE GREATER KEDAH - HAIM HILMAN

 


Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kerosakan dunia hari ini bukan berpunca daripada kekurangan ilmu, sebaliknya akibat ilmu yang tidak dipandu iman dan akhlak.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, generasi berilmu dan berakhlak menjadi asas penting dalam menjayakan agenda The Greater Kedah.

Menurut beliau, oleh itu pegangan agama yang kukuh perlu menjadi titik mula dalam membina generasi masa depan.

“Dunia bukan bermasalah dengan orang yang tidak berpelajaran, tetapi dengan mereka yang berilmu, memiliki pengetahuan dan teknologi, namun menggunakannya untuk kekerasan dan kekejaman.

“Ilmu tanpa iman dan akhlak hanya membawa kerosakan. Sebab itu ilmu mesti dipandu iman dan setiap tindakan dilakukan sebagai ibadah untuk mencari keredaan ALLAH SWT,” katanya.

Beliau menegaskan, al-Quran dan Sunnah kekal sebagai panduan merentasi semua generasi termasuk Gen Y, Gen Z dan Gen Alpha dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan.

Haim Hilman berkata demikian ketika berucap pada Program MINDA KHALIFAH: Pathway to The Greater Kedah yang menghimpunkan kepimpinan utama anak Kedah di universiti-universiti seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gagasan The Greater Kedah bukan sekadar agenda politik jangka pendek, sebaliknya perancangan masa depan negeri untuk tempoh 25 tahun akan datang.

“Kita tidak bercakap tentang pilihan raya akan datang, tetapi tentang generasi akan datang. Kita merancang melonjakkan Kedah menjadi negeri maju dengan pertumbuhan ekonomi jauh lebih tinggi berbanding hari ini,” ujarnya.

Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah ketika ini sekitar RM54 bilion dan negeri itu menyasarkan peningkatan kepada RM576 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Bagaimanapun katanya, kejayaan tersebut tidak bergantung kepada kepimpinan hari ini semata-mata, sebaliknya kepada generasi muda yang bakal menyambung perjuangan.

“Kami hanya memulakan larian. Suatu hari nanti baton kepimpinan akan diserahkan kepada generasi muda. Ketika itu kalian mesti berlari lebih laju, lebih jauh dan lebih berani dengan ilmu, akhlak dan kepimpinan berteraskan nilai agama,” katanya.

Haim Hilman turut tegaskan, kepelbagaian kaum di negeri ini bukan alasan untuk membina tembok pemisah, sebaliknya peluang memperkukuh jambatan perpaduan.

“Pemimpin yang kita perlukan ialah pemimpin yang menyatukan, bukan memisahkan. Generasi muda hari ini akan memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berintegriti,” jelasnya.

Program berkenaan menjadi medan pembinaan kepimpinan menyeluruh melibatkan pengukuhan hala tuju organisasi, pembinaan jati diri, latihan komunikasi strategik serta pendedahan kepada ekosistem industri berteknologi tinggi selaras aspirasi The Greater Kedah.

Peserta turut mengikuti latihan Qudwah Leadership, bengkel pembinaan takwim tahunan, pembentangan kertas kerja berimpak, latihan pengucapan awam serta Outdoor Leadership Expedition yang menguji daya tahan dan semangat berpasukan.

Kemuncak program menyaksikan penyerahan 50 kertas kerja berimpak tinggi sebagai pelan tindakan untuk digerakkan di lapangan, sekali gus membuktikan MINDA KHALIFAH berupaya melahirkan pelaksana yang mampu merancang, memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Post a Comment

0 Comments