Oleh: Dr Tengku M Fakhruddin
ADUN Sura
Saya rasa ramai terkejut bila diumumkan perlantikan Dr Samsuri sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Tapi kalau kita tengok betul-betul… ini bukan sekadar tukar jawatan.
Ini sebenarnya tanda satu perubahan zaman dalam politik Malaysia.
Selama lebih 20 tahun politik negara berlegar sekitar nama-nama besar generasi lama iaitu Anwar, Muhyiddin, Zahid.
Suka atau tidak, politik kita terlalu lama berkisar pada konflik personaliti dan sejarah silam.
Perlantikan Dr Sam membawa satu mesej jelas:
Malaysia sedang masuk fasa kepimpinan generasi baru.
Bukan lagi politik dendam lama.
Bukan lagi politik siapa kawan siapa musuh sejak 1998.
Tetapi politik penyelesaian.
Ramai yang kenal Dr Sam sebagai Menteri Besar, tapi orang yang pernah duduk semeja dengan beliau tahu satu perkara iaitu beliau sangat suka rundingan.
Dalam banyak mesyuarat, beliau jarang buat keputusan tergesa-gesa.
Beliau akan dengar semua pihak dulu. Kadang-kadang lama.
Ada orang gelisah sebab nak keputusan cepat.
Tapi itulah gaya beliau.
Politik matang dan sejahtera yang bukan hanya slogan, tapi cara bekerja.
Bagi Dr Sam, politik bukan medan bertekak.
Politik ialah proses mencari titik persetujuan.
Sebab itu beliau tidak gemar politik panas media sosial.
Beliau lebih percaya perbincangan bersemuka daripada konfrontasi terbuka.
Satu lagi yang ramai tak perasan, Dr Sam sebenarnya antara tokoh awal yang bercakap tentang kerjasama negeri-negeri Melayu melalui idea SG4.
Bila orang lain masih bercakap soal parti, beliau sudah bercakap soal model pembangunan wilayah.
SG4 bukan sekadar pertemuan MB.
Ia percubaan mencipta keseimbangan ekonomi baharu supaya pembangunan Malaysia tidak hanya berpusing di Lembah Klang sahaja.
Mudah cerita,
kalau dulu pusat tentukan negeri,
idea SG4 cuba jadikan negeri sebagai kuasa pembangunan.
Dan ini pemikiran yang agak baru dalam politik negara.
Saya nak kongsi satu pengalaman peribadi.
Sebelum PRN Terengganu lepas, masa saya hampir pasti akan dicalonkan, ramai orang beri nasihat macam-macam fokus kawasan, susun jentera, jaga persepsi.
Tetapi nasihat pertama Dr Sam kepada saya bukan tentang kempen, bukan tentang strategi pilihan raya, dan bukan tentang cara menang.
Beliau menekankan satu perkara sahaja: jangan abaikan pengajian. Habiskan DrPH.
Di situ saya faham sesuatu.
Ada pemimpin melihat politik sebagai kedudukan, tetapi ada pemimpin melihat politik sebagai amanah yang memerlukan keupayaan.
Beliau sangat menitikberatkan ilmu.
Bagi beliau, pemimpin tanpa ilmu hanya mampu bercakap tetapi pemimpin berilmu mampu merancang, menggubal dasar dan menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih jauh daripada sekadar populariti.
Dan sebenarnya, itulah perbezaan besar antara ahli politik dan negarawan.
Jadi perlantikan Dr Samsuri sebagai Pengerusi PN sebenarnya bukan sekadar perubahan individu.
Ia simbol perubahan pendekatan:
dari politik retorik kepada politik pentadbiran
dari politik emosi kepada politik rundingan
dari politik personaliti kepada politik idea
Dan mungkin buat pertama kali selepas lama, politik Malaysia sedang diuji dengan satu persoalan baru:
bukan lagi siapa paling kuat berpidato,
tetapi siapa paling mampu mengurus negara.
#DrDin

0 Comments