Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pelantikan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi PN yang baharu sebagai keputusan yang tepat dan bertepatan dengan keperluan semasa gabungan itu.
Beliau berkata, ini kerana Naib Presiden PAS itu memiliki ciri-ciri pemimpin teknokrat islamik yang berfikiran terbuka namun tegas pendiriannya.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, Ahmad Samsuri memiliki karakter tersendiri yang disenangi ramai, iaitu seorang pemimpin yang tenang, tidak gopoh, bersifat ‘soft-spoken’ serta mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.
“Ahmad Samsuri seorang yang terbuka, tidak kekok bergaul dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik. Beliau juga memahami seni dan sains politik,” katanya, hari ini.
Pada Ahad, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik sebagai Pengerusi baharu PN, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS.
Keputusan tersebut disahkan menerusi kenyataan bersama empat presiden parti komponen, iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan PAS Pusat berkata, pengalaman luas Ahmad Samsuri selama 10 tahun sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, telah membuka ruang penglibatan dan jaringan strategik bersama pelbagai pihak sehingga PAS tidak lagi dilihat terasing dalam dunia politik.
“Pendekatan itu turut membantu mengubah watak dan imej kepimpinan parti sehingga PAS mula diterima kalangan pengundi bandar serta kelas menengah.
“Beliau juga antara individu yang membuka jalan menghubungkan PAS dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan Islam sehingga PAS tidak lagi ditakuti, sebaliknya dihormati,” ujarnya.
Tambah Sanusi, Ahmad Samsuri mempunyai rangkaian kenalan luas di luar parti sejak zaman pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), University of Leeds, United Kingdom mahupun ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Jaringan tersebut membolehkan beliau mendapatkan pandangan serta analisis politik semasa daripada rakan-rakan di luar lingkungan parti bagi merancang strategi dan pergerakan masa depan.
“Ahmad Samsuri juga kerap mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan dan idea, selain memahami isu dan tahu menempatkan diri dalam pelbagai senario.
“Beliau juga tidak pernah meminta-minta jawatan, sebaliknya sentiasa bersedia dibantu dan memikul amanah apabila diberikan tanggungjawab,” katanya lagi.
Sebelum ini, pada 2 Januari, Sanusi pernah mencadangkan nama Ahmad Samsuri sebagai tokoh paling sesuai menerajui gabungan tersebut, apabila namanya dikaitkan sebagai calon Pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin.

0 Comments