MURSYIDUL AM PAS DIRAWAT DI ICU, DUPP MOHON ANJUR SOLAT HAJAT DAN MUNAJAT

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Mursyidul Am PAS, Dato' Haji Hashim Jasin, 87, mengalami serangan jantung iskemik dengan tahap kekuatan jantung hanya kira-kira 35 peratus selain berdepan komplikasi membabitkan buah pinggang tahap empat hingga lima, paru-paru dan hati.

Anak perempuan beliau, Husna Hashim berkata, bapanya kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani prosedur pemasangan stent pada bahagian arteri paha susulan komplikasi kesihatan yang serius.

Menurutnya, Hashim dipindahkan ke HPP empat hari lalu dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Perlis bagi menjalani prosedur tersebut selepas berlaku kecederaan pada arteri ketika persiapan rawatan dialisis dibuat.

“Prosedur itu berjaya dilaksanakan dan abah kini dipantau rapi di ICU berikutan keadaan jantung yang semakin lemah selain komplikasi kesihatan lain. Alhamdulillah, prosedur sudah berjaya namun keadaan masih tidak stabil dan beliau masih menerima rawatan,” katanya menerusi video di TikTok, hari ini.

Menurut Husna, bapanya dimasukkan ke HTF pada 7 Februari lalu selepas mengalami keuzuran sejurus pulang daripada menghadiri beberapa mesyuarat dan program di Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati bapa mengalami serangan jantung dengan fungsi jantung sekitar 35 peratus. Bagaimanapun, prosedur angiogram belum dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri memberi tekanan tambahan kepada jantungnya yang lemah.

“Selain masalah jantung, bapa turut berdepan komplikasi buah pinggang, paru-paru dan hati. Bacaan kreatinin dilaporkan melebihi 400 dengan paras urea yang tinggi sehingga menyebabkan bapa lemah dan mengantuk, sekali gus memerlukan rawatan dialisis ringan selepas keadaan stabil,” jelasnya.

Menurut Husna, ketika persiapan untuk dialisis dibuat, berlaku kecederaan pada bahagian arteri paha yang memerlukan pemasangan stent, menyebabkan bapanya dipindahkan ke HPP. 

“Bapa kini menjalani dialisis ringan selama tiga jam setiap sesi selain menerima rawatan antibiotik susulan jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Sehubungan itu, pihak keluarga memohon agar tiada sebarang ziarah dibenarkan buat masa ini atas nasihat doktor memandangkan keadaan Hashim yang sangat tidak stabil.

“Saya mewakili keluarga mohon maaf kerana tidak dapat membenarkan sebarang ziarah buat masa ini memandangkan keadaan abah yang sangat tidak stabil,” kata Husna lagi.

Dalam pada itu, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menerusi kenyataan menyeru seluruh pendukung dan penyokong PAS agar menganjurkan solat hajat dan munajat khusus buat Mursyidul Am PAS itu.

Ketua DUPP, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, DUPP turut mendoakan agar Hashim dikurniakan kesembuhan serta kesihatan yang baik dan dapat terus berkhidmat kepada ummah.

“Semoga dengan kemuliaan dan keberkatan bulan Ramadan ini, ALLAH SWT kabulkan segala hajat kita serta permudahkan urusan Tuan Guru Mursyidul Am,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am PAS keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama PAS susulan pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din pada 16 September tahun sama.

Sejak diperkenalkan jawatan Mursyidul Am, hanya empat individu dilantik menggalas amanah tersebut, iaitu Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (1987-1994), Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat (1994-2015), Tuan Guru Dato’ Dr Haji Haron Din (2015-2016) dan Tuan Guru Dato’ Haji Hashim Jasin  (2016 - kini).

Post a Comment

0 Comments