PTG SASAR KUTIPAN HASIL RM554 JUTA, TUMPU USAHA KUTIPAN TUNGGAKAN CUKAI

 


Nur Akasyah Sabri

Wartawan UPDA


ALOR SETAR – Pentadbiran Tanah Negeri Kedah (PTG) menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM554 juta bagi tahun 2026, melebihi prestasi kutipan tahun lalu yang merekodkan RM445,416,164.


Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Arof Darus berkata, bagi merealisasikan sasaran itu, pihaknya akan memberi tumpuan kepada kutipan tunggakan cukai tanah yang kini mencatatkan jumlah tunggakan sebanyak RM103,922,000.


“Kita akan wujudkan task force bagi tujuan pemutihan data tunggakan cukai tanah dan cukai petak di negeri ini, bagi memastikan hasil yang dikutip pada tahun ini mencapai sasaran ditetapkan.


“Walaupun kadar cukai tanah baharu tidak dapat dikuatkuasakan tahun ini, PTG akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan cadangan pemberian insentif kepada semua pembayar cukai, iaitu pengecualian denda lewat kepada mereka yang menjelaskan keseluruhan tunggakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.


Mohamad Arof berkata, usaha ini mampu menggalakkan pembayar cukai menjelaskan keseluruhan tunggakan sekali gus akan mengurangkan jumlah akaun belum terima.


Dalam pada itu, PTG turut merekodkan sembilan teguran yang dikeluarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada tahun 2021.


“Teguran tersebut merangkumi tujuh teguran berkaitan Tanah Simpanan Melayu dan dua teguran berkaitan isu pengurusan kontrak, yang kesemuanya telah dimasukkan ke dalam AJ Dashboard untuk tujuan pemantauan,” katanya.


Menurutnya, PTG telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Audit pada 7 November lalu bersama Ketua Audit Negara bagi membincangkan dan menjawab isu-isu yang dibangkitkan.


“Alhamdulillah, selepas hampir empat tahun berhempas pulas, daripada sembilan teguran audit tersebut, lima teguran telah dihijaukan oleh Ketua Audit Negara pada 15 Disember lalu, manakala empat lagi masih dalam proses untuk dihijaukan.


“Saya ingin menyeru kepada seluruh warga pentadbiran tanah agar lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugasan harian serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh JKPTG dan PTG. Sekiranya sesuatu teguran telah dimasukkan ke dalam AJ Dashboard, proses untuk menyelesaikannya akan menjadi lebih mencabar,” jelasnya.


Jelas Mohamad Arof lagi, usaha untuk menyelesaikan kesemua teguran audit akan dilaksanakan sebaik mungkin, khususnya berkaitan Tanah Simpanan Melayu, termasuk merangka serta mewartakan keseluruhan Tanah Simpanan Melayu yang dianggarkan berjumlah kira-kira 814,000 lot.


“Program Pemutihan Tanah Simpanan Melayu bukan sekadar satu peruntukan undang-undang, ia merupakan amanah besar yang berkait rapat dengan kelangsungan hak orang Melayu, kesejahteraan sosioekonomi serta kedaulatan warisan bangsa di negeri ini.


“Peruntukan Tanah Simpanan Melayu sebagaimana termaktub dalam Enakmen Tanah Simpanan Melayu Negeri Kedah 1930 dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipelihara dengan penuh integriti, ketulusan dan ketegasan,” katanya.


Beliau turut menegaskan setiap urusan berkaitan Tanah Simpanan Melayu, sama ada pelupusan, pendaftaran, pengwartaan, penggantian mahupun pembangunan, hendaklah dilaksanakan dengan mematuhi semua undang-undang, dasar kerajaan negeri serta arahan pentadbiran yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.


“Rentetan teguran audit tersebut, pada 17 April 2023 PTG telah memulakan Program Pemutihan Tanah Simpanan Melayu melalui penubuhan pasukan task force melibatkan PTG, Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPM).


“Mesyuarat pemutihan Tanah Simpanan Melayu ini diadakan secara berkala dan setiap PTD perlu membentangkan dapatan data mengikut daerah. Mesyuarat turut memutuskan sebarang perubahan data keluasan Tanah Simpanan Melayu hendaklah selaras dengan pelan yang telah diperakukan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) dan JUPM,” katanya.


Walau bagaimanapun, keluasan Tanah Simpanan Melayu dan Tanah Luar Simpanan Melayu boleh berubah dari semasa ke semasa berikutan pelaksanaan berterusan program berkenaan, termasuk proses pembatalan dan penggantian atau swapping yang dijalankan sehingga empat kali setahun.


“Sekiranya terdapat perubahan data keluasan Tanah Simpanan Melayu dan Tanah Luar Simpanan Melayu, pemakluman akan dibuat kepada pihak berkuasa negeri sekurang-kurangnya sekali setahun.


“Ketepatan data ini bukan sekadar keperluan pentadbiran, malah merupakan asas kepada setiap keputusan dan dasar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.


“Data yang tepat, lengkap dan dikemas kini akan memastikan hak Tanah Simpanan Melayu terus terpelihara serta mengelakkan kekeliruan, pertikaian dan kesilapan yang boleh beri kesan jangka panjang,” katanya.

Post a Comment

0 Comments