3 BEKAS ADUN PERLIS CABAR KEPUTUSAN SPEAKER DI MAHKAMAH, BOLEH KE?





Pandangan oleh Nazrul Nazir

02012025:1600 @ Kangar


Hari ini, 3 bekas ADUN yang terhenti keahlian PAS telah mengeluarkan kenyataan media untuk mencabar tindakan pengosongan kerusi mereka. 


Pertama, bolehkah mereka mulakan tindakan tersebut di Mahkamah? Boleh. Itu adalah hak mereka sebagai warganegara Malaysia. 


Kedua, adakah permohonan mereka boleh berjaya di Mahkamah? Yang ini bergantung kepada penilaian Mahkamah. Saya takkan ulas merit kes ini sebab kes ini sudahpun difailkan, bimbang akan menjadi subjudice. 


Cuma, sebelum kes 3 ADUN ini, dah ada dua kes yang dibawa di Mahkamah berkenaan keputusan Speaker dalam membuat keputusan berkenaan pengosongan kerusi. Satu, kes 4 MP Bersatu Sabah (kini GRS) keluar dari Bersatu. Dua, kes ADUN Nenggiri di Kelantan. 


Untuk kes ADUN Nenggiri di Kelantan, kes dah berjaya difailkan pada 2024. Namun pada 28.4.2025, saman tersebut telah ditarik balik oleh pemohon. Jadi kes ni kita takkan bincang. [1]


Kita pergi kepada kes kedua, iaitu kes 4 MP Bersatu Sabah. Dalam kes ini, Speaker Dewan Rakyat telah menerima pemakluman pertukaran parti 4 MP tersebut dari Setiausaha Agung BERSATU. Namun, Speaker telah membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen di kawasan terbabit. BERSATU kemudiannya telah mencabar tindakan tersebut di Mahkamah. 


Di Mahkamah Tinggi, YA Hakim telah menolak permohonan BERSATU atas sebab keistimewaan Parlimen. Perkara ini termaktub dalam Perkara 63 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan secara jelas bahawa sebarang prosiding Parlimen tidak boleh dipersoalkan di mana-mana Mahkamah (rujuk gambar 2). Oleh itu, berdasarkan prinsip-prinsip kes duluan, saman yang difailkan oleh BERSATU tidak mempunyai bidangkuasa (locus standi) untuk didengar dan diputuskan di Mahkamah. BERSATU kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, namun Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.[2] 


Tapi itu kan untuk Parlimen, adakah DUN juga ada keistimewaan tersebut? Jawapannya, YA. DUN juga mempunyai keistimewaan yang sama. Ini dinyatakan jelas dalam Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan (rujuk gambar 3). 


Kejap, adakah keputusan berkenaan pengosongan kerusi oleh Speaker juga termasuk dalam keistimewaan di bawah Perkara 63 & 72 ini? Jawapannya, YA. Bahkan memang ada kes sebelum ni


Pertama, kes Teng Chang Khim (merayu sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor) mlwn Badrul Hisham Abdullah & satu lagi (2017). Dalam kes ini, Panel Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah tiada kuasa untuk campur tangan terhadap sebarang keputusan dalaman (internal management) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Tindakan yang dirujuk dalam kes tersebut adalah berkenaan pengosongan kerusi ADN Pelabuhan Klang dari PKR (kemudian menyertai UMNO) oleh Speaker Dewan Negeri Selangor.


Kedua, kes Mahkamah Persekutuan juga iaitu kes Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mlwn Ting Tiong Choon & lain-lain (2020). Kes ini turut melibatkan keputusan Speaker terhadap pengosongan kerusi apabila kerusi ADUN Pujut dari DAP dikosongkan kerana beliau didapati mempunyai dua kerakyatan. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan keputusan DUN tidak boleh dipersoalkan di Mahkamah, selagi DUN bertindak dalam batas kuasanya seperti termaktub dalam Perlembagaan.


Saya tak pasti bagaimana strategi 3 bekas ADUN ini untuk membawa kes mereka di Mahkamah. Jadi saya lebih selesa untuk melihat bagaimana Mahkamah mendengar dan membuat keputusan untuk kes ini. Cuma berdasarkan kes-kes yang saya nyatakan di atas, perjalanan mereka untuk membawa kes ini agak berliku.


Namun sekiranya Mahkamah membuat keputusan berbeza dengan kes 4 MP BERSATU Sabah, ia akan membuka satu lagi dimensi baru dalam sistem perundangan, iaitu keputusan Speaker terhadap status pengosongan kerusi boleh dicabar di Mahkamah. 


Dan ia mungkin akan memberi kesan kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat yang mengekalkan 6 kerusi Ahli Dewan Rakyat BERSATU yang menyatakan sokongan kepada PMX, serta telah terlucut keahlian BERSATU. Bear in mind, (setahu saya) sehingga hari ini, BERSATU masih belum mencabar keputusan tersebut di Mahkamah. 


Apapun, inilah keunikan undang-undang. Satu kes di Mahkamah boleh memberi kesan berkait kepada kes yang lain. Menarik kan? 


Sekadar pandangan. 

Post a Comment

0 Comments