PENYATUAN MELAYU GAGAL SELAGI KEPIMPINAN UTAMAKAN KEPENTINGAN DIRI - HAIM HILMAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Penyatuan bangsa Melayu tidak akan tercapai selagi kepimpinan Melayu gagal meletakkan kepentingan agama dan umat mengatasi kepentingan peribadi, jawatan serta pengaruh.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, selagi kepimpinan utama parti-parti Melayu tidak berani melakukan perubahan sebenar, usaha membina ‘payung besar’ bagi mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam akan terus rapuh, mudah runtuh serta tidak diyakini generasi masa depan.

Katanya, walaupun harapan untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu ketika ini masih kelihatan jauh, keadaan itu tidak mustahil sekiranya wujud keberanian untuk berubah kalangan pemimpin dan rakyat.

“Perlu ada keberanian untuk berubah. Perubahan itu tidak bermula di istana kuasa, tetapi bermula di hati setiap orang Melayu yang cintakan bangsanya, kita harus sedar bahawa tanggungjawab pertama ialah menggunakan hak sebagai pengundi.

“Tidak mengundi bermakna menyerahkan masa depan bangsa kepada tangan orang lain. Setiap undi adalah amanah dan setiap amanah akan dipersoalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu tegaskan, parti-parti Melayu perlu bermuhasabah secara jujur dan sudah tiba masanya keberanian menggantikan kesetiaan palsu.

“Calon-calon yang bersih, berintegriti, adil, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh mesti diketengahkan, tanpa mengira usia atau kedudukan. Pemimpin bermasalah mesti direhatkan, bukan dipertahankan atas nama kesetiaan,” ujar beliau.

Haim Hilman berkata, penyatuan bangsa Melayu bukan isu politik bermusim atau sekadar slogan menjelang pilihan raya, sebaliknya ia adalah amanah sejarah melibatkan kelangsungan maruah bangsa dan masa depan Islam di tanah air sendiri.

“Orang Melayu mesti berani membuat pilihan yang strategik dan matang. Dalam keadaan politik semasa, penyatuan Melayu hanya mampu dicapai melalui satu kekuatan yang stabil dan konsisten memperjuangkan agenda Islam dan Melayu, walaupun kekuatan itu tidak sempurna,” katanya.

Tambah beliau, perpecahan undi Melayu hanya menguntungkan pihak yang tidak berkepentingan menjaga agenda bangsa dan agama.

“Penyatuan Melayu bukan tanggungjawab seorang tokoh, satu parti atau satu generasi. Ia adalah tanggungjawab kolektif seluruh bangsa. Jika generasi hari ini gagal bersatu kerana terlalu cintakan ego dan kuasa, maka generasi akan datang akan mewarisi kelemahan yang kita cipta sendiri,” katanya.

Mengulas kepimpinan semasa, beliau menyifatkan realiti hari ini amat mendukacitakan apabila terdapat pemimpin Melayu yang masih berpegang pada jawatan walaupun jelas kehadiran mereka menjadi beban kepada parti, bangsa dan umat.

“Pemimpin sebegini bukan sahaja sukar ditegur, lebih membimbangkan, wujud pemimpin yang terperangkap dalam ilusi kehebatan diri sehingga gagal membaca realiti dan menilai kelemahan sendiri. Mereka dikelilingi pengikut yang mengukuhkan kesilapan dengan kesetiaan membuta tuli.

“Apabila kuasa menjadi tujuan dan bukan amanah, jawatan dianggap hak dan bukan tanggungjawab, maka kepimpinan berubah menjadi alat mempertahankan kepentingan diri.

“Di sinilah bermulanya nepotisme, kronisme dan budaya melindungi kesalahan sehingga perjuangan berubah menjadi perniagaan dan kepercayaan rakyat dikhianati,” ujarnya.

Haim Hilman tegaskan, sekiranya dibiarkan berlarutan, politik Melayu akan menjadi lesu, rakyat hilang harapan, pemimpin hilang arah dan penyatuan bangsa hanya tinggal kenangan.

“Ada pemimpin licik memperdaya rakyat dengan janji, rakyat terperangkap dengan naratif lama  hingga gagal melihat alternatif lebih bersih, ada individu yang baik dalam parti memilih berdiam diri demi menjaga kedudukan lalu membiarkan kebatilan terus berakar.

“Jalan ke arah penyatuan mungkin berliku dan penuh cabaran, tetapi sejarah menunggu keberanian kita untuk melangkah. Bangsa Melayu tidak ketandusan potensi, yang kurang hanyalah kesediaan untuk berubah,” katanya.

Tambah beliau lagi, sekiranya hari ini orang Melayu memilih untuk bangkit bersama, sejarah akan mencatatkan bahawa bangsa ini pernah jatuh, tetapi bangkit dengan maruah, kebijaksanaan dan kesatuan.

“Penyatuan tidak lahir daripada retorik, tetapi daripada pengorbanan. Sejarah membuktikan bangsa yang besar dibina oleh pemimpin yang sanggup kehilangan segalanya demi prinsip, bukan yang mempertahankan kerusi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments