'EXPERIENCE KEDAH' PERLU DIPERHEBATKAN LAGI SEPANJANG 2026


Ku Azizah Ku Hamid 

Wartawan UPDA


JITRA - Semua pihak diminta agar melipatgandakan usaha bagi memastikan agenda 'Experience Kedah' lebih hebat dan gemilang pencapaiannya pada tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, semangat 'Experience Kedah' 2025 perlu dijadikan sebagai pemangkin dalam membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Penganjuran Tahun Melawat Kedah 2025 memberi hasil yang amat membanggakan kita.


"Namun kejayaan-kejayaan itu tidak bermakna tugas kita untuk mengangkat sektor pelancongan negeri ini telah berakhir," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, di Tasik Darulaman.


Mohd Salleh berkata, tema 'Manisnya Tahun Baharu' dipilih untuk sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 bagi menggambarkan kebersamaan, keceriaan dan harapan baharu yang dikongsi oleh masyarakat pelbagai latar belakang. 


"Program yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung ini bukan sahaja dimeriahkan dengan persembahan artis-artis jemputan, malah turut membuka ruang rezeki kepada peniaga tempatan sejak dibuka beberapa hari sebelum acara kemuncak," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments