Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan negeri menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes buli di Kedah, namun pemimpin kerajaan negeri yang merupakan pembangkang tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah, menyebabkan tidak dapat memberi nasihat dan berinteraksi secara langsung dengan pelajar.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, biarpun bidang kuasa tersebut berada bawah Kementerian Pendidikan, pihaknya turut memberi perhatian serius kepada kes buli yang dilaporkan melonjak sebanyak 330 peratus, daripada 10 kes pada 2024 kepada 43 kes pada 2025.
“Perkara ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, saya tidak boleh komen. Namun disebabkan ia berlaku di negeri Kedah, sudah tentu saya risau,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Sanusi tegaskan, beliau bersedia bertemu pelajar secara peribadi sekiranya diberikan kebenaran untuk berbuat demikian.
“Kalau dibenarkan masuk, saya boleh memberi nasihat dan pandangan berdasarkan pengalaman saya sendiri. Tetapi, saya dilarang, tidak boleh masuk ke sekolah,” jelas beliau.
Berikutan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan memberi kebenaran supaya dapat memainkan peranan secara langsung dalam menangani isu buli.
“Banyak perkara boleh dibincangkan. Kenapa tidak benarkan sekolah jemput saya? Cuba panggil saya masuk sekolah sekali, tolong sampaikan kepada menteri itu,” ujarnya, merujuk kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka dengan tingkah laku anak-anak di luar sekolah.
“Jika anak ada kecenderungan untuk membuli, ibu bapa mesti beri nasihat. Kadang-kadang tekanan di rumah boleh menyebabkan mereka lepaskan di sekolah kepada rakan-rakan. Anak yang dibuli jangan takut untuk beritahu ibu bapa. Jika melepasi batas, laporan perlu dibuat,” katanya.
Pada Ahad, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan, sebanyak 90 kes rogol membabitkan pelajar sekolah serta 43 kes buli direkodkan di Kedah sepanjang tahun 2025, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di negeri ini.
Menurutnya, kes buli di negeri ini semakin membimbangkan, dengan 32 kes di sekolah menengah, sembilan di sekolah rendah, dan dua di sekolah swasta.
Sementara daripada 90 kes rogol yang direkodkan, 78 kes melibatkan pelajar sekolah menengah manakala 12 kes lagi membabitkan murid sekolah rendah.

0 Comments