Oleh: Amal Nabila
KUPANG – Setiap kali angin kencang melanda, keluarga ini hidup dalam ketakutan apabila rumah yang didiami 'bergoncang' sehingga papan dinding kediaman mereka hampir roboh.
Dalam keadaan hidup serba kekurangan, rumah yang menjadi satu-satunya tempat berlindung itu tidak mampu lagi dibaik pulih.
Menceritakan keadaan itu, Mahamad Amril Ishak, 46, berkata,
keadaan rumah miliknya itu semakin hari semakin uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami, apatah lagi apabila tiba musim hujan disertai tiupan angin kuat.
"Kami trauma setiap kali angin kencang melanda, khususnya ketika hujan lebat," katanya ketika ditemui media PAS Kawasan Baling.
Susulan aduan yang diterima, Pegawai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar mewakili ADUN Kupang, Brigedier (B) Dato’ Haji Najmi telah turun meninjau kediaman keluarga tersebut di Kampung Kuala Balut, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK), Azenan Neek Sulong.
Mahamad Amril turut memaklumkan, keluarganya kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
“Itulah satu-satunya pendapatan kami sekeluarga. Saya tidak lagi mampu bekerja selepas jatuh sakit.
"Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori ais.
Isteri saya suri rumah dan kami mempunyai dua anak berusia 10 tahun dan empat tahun.
"Walaupun diuji dengan sakit, saya pernah cuba berniaga burger, namun hanya mampu bertahan beberapa bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Sabri memaklumkan, kos baik pulih rumah tersebut memerlukan peruntukan besar dan di luar kemampuan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang.
"Memandangkan kos baik pulih yang tinggi di luar kemampuan PKWR, kes keluarga ini dirujuk kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk tindakan lanjut.
"PKWR DUN Kupang dengan kerjasama MKK akan terus berusaha meringankan beban keluarga ini melalui bantuan dan sokongan bersesuaian," jelasnya lagi.

0 Comments