Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kedah
Apabila berbicara mengenai pelaburan masuk ke Kedah yang ‘mencanak’ naik dalam tempoh lima tahun kebelakangan, ada yang sinikal bertanya, “adakah itu daya usaha Kerajaan Negeri?”
“Benarkah pelaburan tinggi yang sampai berbilion ringgit dan selalu dibangga-banggakan oleh Kerajaan Negeri Kedah itu usaha YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi?”
Tidak kurang juga yang menuduh Kerajaan Negeri Kedah ‘claim mileage’ daripada hasil kerja MIDA.
Selain MIDA, NCER (Nothern Corridor Economic Region), sebuah lagi agensi Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Ekonomi turut memainkan peranan penting dalam memajukan sektor industri Negeri Kedah.
Penjelasannya begini:
1.Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan masing-masing ada peranan dalam memajukan sektor industri di Kedah, khususnya Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
2.Pertama sekali perlu difahami bahawa KHTP adalah milikan dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kedah melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Anak syarikat PKNK yang menguruskan KHTP ialah Kumpulan Kulim Technology Park Corporation (KTPC).
3.Dalam menguruskan pelaburan masuk ke Kedah dalam sektor industri terutamanya, fungsi agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak sama dan tidak bertindih tetapi saling melengkapi satu sama lain.
4.Dalam urusan ini, bidang kuasa Kerajaan Negeri yang paling utama adalah berkaitan tanah. Kerajaan Negeri berkuasa untuk menentukan, menyediakan dan meluluskan tanah yang akan dimajukan sebagai kawasan industri, meluluskan tapak-tapak yang akan diberi kepada pelabur untuk mendirikan kilang atau premis mereka.
5.Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah & Galian (PTG) akan menetapkan lokasi, meluluskan /penukaran syarat tanah dan menyediakan infra asas (jalan, utiliti, akses air & kuasa elektrik).
6.Selain itu ada juga peranan dan bidang kuasa PBT untuk meluluskan Kebenaran Merancang (KM) dan sebagainya.
7.Walaupun kuasa untuk memberi insentif kepada pelabur adalah lebih luas dan lebih tinggi boleh ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga boleh menawarkan insentif yang ada di bawah bidang kuasanya seperti potongan premium tanah, kadar sewa yang lebih rendah, diskaun cukai tanah untuk pelabur besar, kelulusan cepat (fast-track approval)dan juga mengurus isu-isu “aftercare” pelabur.
8.Peranan Kerajaan Negeri juga penting dalam memudah cara dan menyelesaikan isu operasi kilang yang berkaitan dengan bekalan air, elektrik dan tapak.
9.Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri juga dari masa ke masa boleh memainkan peranan selaku “problem-solver” untuk pelabur sedia ada, memudahkan peluasan pelaburan (expansion) dan sebagainya.
10. Satu perkara yang sering dijadikan isu yang biasanya akibat pengaruh politik kepartian apabila Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ditadbir oleh parti politik yang berbeza ialah “penafian yang disengajakan” bahawa Kerajaan Negeri juga sebenarnya aktif menjalankan promosi dan pemasaran untuk menarik pelabur asing datang melabur di Negeri Kedah.
11.Usaha ini dilakukan secara aktif menerusi agensi-agensi seperti Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, Invest Kedah, Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) selain oleh PKNK dan KTPC. Ia dilakukan menerusi program ‘pitching’ bersama pelabur di luar negara untuk menyampaikan idea, maklumat mengenai insentif dan kemudahan yang ditawarkan dan juga padanan rakan kongsi yang terdiri daripada GLC dan syarikat swasta dan sebagainya.
12.Memang benar bahawa MIDA (Malaysian Investment Development Authority) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah agensi khusus Kerajaan Persekutuan yang menguruskan kemasukan pelabur ke negara ini.
13.Walau bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan ekosistem, prasarana dan segala keperluan yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri untuk berusaha menjadikan Negeri Kedah destinasi pelaburan yang paling menarik di negara ini.
14.MIDA bertanggungjawab untuk memasarkan sektor pelaburan nasional, dalam skala sebuah negara. Untuk menarik pelabur datang ke Negeri Kedah, itu adalah tanggungjawab Kerajaan Negeri Kedah.
15.Hasilnya sudah terbukti. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan sejak tahun 2021, Negeri Kedah telah muncul sebagai negeri perindustrian ‘Top 5’ di negara ini dengan pelaburan industri malah terus mengungguli sektor pembuatan (manufacturing sector) yang tertinggi, khususnya di KHTP.
16.Rangsangan daripada perkembangan ini, Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi sektor perindustrian di Negeri Kedah dengan membuka lebih banyak kawasan perindustrian baharu seperti di Kedah Science & Technology Park (KSTP) yang berlokasi di Special Border Economic Zone (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City (KRC), Kawasan Perindustrian Padang Meha dan Kawasan Perindustrian Gurun selain kawasan industri yang sudah lama ada di Sungai Petani.
17.KHTP 2 adalah hab baharu paling berdaya maju dirancang di Kulim Industrial Corridor (KIC).
18.Penyediaan tapak kawasan perindustrian yang lengkap dengan segala prasarana mencukupi adalah urusan dan tanggungjawab Kerajaan Negeri. Jika tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, kemungkinan besar negeri-negeri yang lebih lama dan lebih maju dalam sektor perindustrian seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor akan jadi pilihan pelabur.
19.Bukan itu sahaja. Satu lagi inisiatif paling besar dan paling berkesan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah ialah memperkenalkan Inisitiatif E-10 dan E-10 Plus. Inisiatif ini menyasarkan tempoh yang paling singkat bagi proses pengeluaran permit pembinaan bangunan industri yang mula dilaksanakan di kawasan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) tiga tahun lalu.
20.Di bawah inisiatif ini, pelabur tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan membina kilang apabila isu-isu birokrasi yang sebelum ini sering membelenggu mereka, diminimumkan tanpa melanggar syarat-syarat perundangan sedia ada. Itulah tarikan utama pelabur memilih Kulim, khususnnya KHTP.
21.Sejak E-10 dan kini, E-10 Plus dilaksanakan, pertambahan pelaburan di Kulim telah meningkat drastik, dan kini inisiatif itu telah dijadikan model oleh PBT lain di seluruh negara.
22.Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah menafikan peranan dan sumbangan MIDA dalam membawa masuk pelabur ke negeri ini, terutama di KHTP.
23.Sebagai sebuah agensi pemasaran pelaburan Kerajaan Persekutuan, MIDA penting untuk menarik pelaburan asing dan domestik pada skala negara terutama dalam menawarkan insentif daripada Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri negara ini.
24.MIDA juga berperanan dalam menyusun atur, mengawal dan menyelaraskan Dasar Industri Negara, menentukan standard industri menerusi pemetaan pelaburan antara negeri bagi mengelak pertindihan dan perebutan pelabur.
25.Dalam kata lain, MIDA adalah ‘Penjaga Pintu Masuk’ yang mana pelabur perlu bertemu dengan MIDA dahulu sebelum dipadankan untuk masuk melabur di negeri yang sesuai termasuk Negeri Kedah.
26.Tanpa pakej yang menarik ditawarkan oleh Kerajaan Negeri, sudah tentu MIDA tidak akan menjadikan Kedah negeri pilihan dengan pelabur sendiri juga tidak akan memilih Kedah. Pelabur ada banyak faktor dalam memilih dan tidak boleh ditekan.
27.Pelaburan akan masuk melalui dua pintu
-- MIDA bawa pelabur → perkenalkan negeri sesuai → cadang Kedah.
-- Kerajaan Negeri / Invest Kedah bawa pelabur sendiri → MIDA proses insentif & kelulusan Kerajaan Persekutuan.
28.Kerajaan Negeri Kedah dan MIDA (Kerajaan Persekutuan) bukan pesaing tetapi bekerja dalam situasi saling melengkapi.
29.Timbanglah secara positif untuk kebaikan negara dan manfaat kepada rakyat. Jangan biarkan diri anda dipengaruhi pemikiran politik sempit hingga merugikan diri kita sendiri.

0 Comments