ALOR SETAR - Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan berpunca daripada desakan PAS.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan wujud tekanan daripada pemimpin PAS terhadap Muhyiddin supaya melepaskan jawatan tersebut adalah tidak benar.
“Tekanan daripada PAS? Setahu saya, tidak ada. Saya pun tak pasti apa maksud dia (Marzuki), tak ada keperluan semasa untuk penukaran,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad kononnya wujud tekanan daripada pemimpin PAS supaya Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Mengulas mengenai pemimpin dari parti mana layak menerajui PN selepas pengunduran Muhyiddin, Sanusi tegaskan, perkara tersebut hanya akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.
“Tengok mesyuarat PN akan datang, tengok siapa yang jadi pengerusi. Kalau saya pun, saya lah, tetapi saya tolak. Saya tak mahu, lantik orang lain,” katanya.
Menurut Pengerusi PN Kedah itu lagi, sebarang keputusan berkaitan kepimpinan tidak wajar dibuat secara terbuka dan seeloknya dilakukan melalui perbincangan rasmi bagi mengelak kekeliruan.
“Mesyuarat akan tentukan, perkara ini perlu diputuskan dalam mesyuarat tertinggi. Tak boleh cakap seorang-seorang di luar, berkecamuk habis.
“Ikut prosedur, bincang dan buat keputusan dalam mesyuarat, kemudian umum,” katanya.
Sebelum ini, Marzuki di laman sosial Facebook miliknya menyuarakan pandangan bahawa PAS layak menerajui kepimpinan PN demi kestabilan gabungan berkenaan selepas pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi berkuat kuasa 1 Januari lalu.

0 Comments