Oleh : Zulkifli Yahaya
Setiausaha Politik MB Kedah
Pada pilihanraya Umum ke 15 tahun 2022, pertandingan yang berlaku di Kedah hanya di peringkat Parlimen sahaja. Tiga gabungan parti utama yang bertanding ialah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PH). Keputusannya PN mendapat 14 kerusi, manakala PH hanya mendapat satu kerusi. BN senasib dengan parti-parti nyamuk Pejuang dan bebas tidak mendapat sebarang kerusi.
Pada PRU yang berlaku peringkat negeri sahaja selepas itu(tahun 2023), BN dan PH bergabung kekuatan berdepan dengan PN. Walaupun bukan dalam satu parti gabungan, BN dan PH pastikan mereka tidak bertembung bila berdepan PN.Namun nasib mereka lebih buruk berbanding semasa tidak bergabung kekuatan.
Pada PRU15 peringkat Parlimen, kedudukannya undi popular adalah seperti berikut: PN - 56%, PH - 24% dan BN - 20%.(PH+BN = 44%). Namun pada Pilihanraya Negeri Kedah yang berlaku setahun kemudian kedudukan undi popular adalah: PN – 68% dan BNPH – 30.1%. Maknanya bila BN dan PH bergabung, rakyat makin tolak. PN menang 33 kerusi, manakala PH hanya 3.
Saya sengaja menaikkan semua fakta dan angka pilihanraya lalu apabila ada pihak mendakwa gabungan kekuatan parti-parti politik boleh menjadi faktor utama menyumbang kekuatan. Saya katakan ia tidak berlaku, jika di Kedah.
Parti yang ada kekuatan akar umbi cuma PAS dan Umno. Siapa pun kena terima terima hakikat, cuma PAS dan Umno!PKR, Amanah, Bersatu, Pejuang dan lain-lain tiada kekuatan ahli. Ada pun sekadar menyambung nyawa. Itulah pemimpin itulah pengikut. Saksikan jumlah undi yang diperolehi oleh Pejuang pada PRU15 lalu. Hampir semua kerusi hilang deposit. Begitulah nasib PKR, Amanah dan Bersatu kalau bertanding sendirian.
Teori bahawa, gabung parti undi bertambah terbukti tak boleh pakai. Tempat di mana PN bertanding lawan PH, ahli-ahli dan penyokong UMNO/BN memberi undi pada PN. Mereka tak beri undi pada PH yang di dalamnya terdapat DAP dan Anwar Ibrahim. Tempat PN lawan BN, ahli-ahli UMNO berbelah bahagi. Ada yang setia sokong BN, manakala ramai yang undi protes kerana BN berkawan dengan DAP serta Umno khianati Datuk Seri Najib Razak. Tempat BN bertanding memang ahli-ahli PKR dan Amanah akan undi BN. Masalahnya kedua-dua parti itu hampir tiada ahli di Kedah. Nak cari ‘buat ubat’ kat kampung-kampung pun susah nak jumpa.
Kekuatan sebenar bagi PH di Kedah, hanyalah pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Tanpa pengundi Cina, 3 kerusi pun ghuyub.
“Itu dulu, PN jangan syok sendiri sangat. Sekarang gelombang sokongan terhadap PMX semakin bertambah.”Saya terjumpa komen begitu di media sosial, diikuti emogi gelak yang bertimpa-timpa. Hakikatnya, komen macam tu pun sekadar syok sendiri jugak. Tak nampak pun apa-apa gelombang di Kedah. Yang ada gelembong. Banyak angin masuk.
Kalau kita lihat sewaktu Kerajaan Pakatan Rakyat hendak dijatuhkan oleh BN di Kedah menjelang PRU tahun 2013, gelombang yang mereka gerakkan sangat dahsyat dan nyata kelihatan. Itupun BN berjaya jadi Kerajaan hanya dengan kelebihan 6 kerusi.
PH bukan tidak mencuba untuk menyerang Kerajaan pimpinan Dato’ Seri Sanusi tapi hasilnya cuma ibarat nak runtuhkan bangunan dengan tembakan cakplong. Honggaq meloroih jadi longgaq. Semua itu jadi bahan gelak ketawa rakyat Kedah.
Saya sedar, Presiden UMNO Dato’ Seri Zahid Hamidi sedar situasi ini. Tak bergabung dengan PH kurang sokongan, tapi bila bergabung sokongan berkurang lagi teruk. Ini situasi luar tabie. Sebab itu Zahid sudah bayangkan BN akan bertanding solo PRU16 nanti. Sekurang-kurangnya kedudukan BN dijangka lebih baik berbanding menumpang kesialan DAP.

0 Comments