PORT PADANG GARAM: DESTINASI PELANCONGAN BAHARU TUMPUAN RAMAI DI KUALA KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KEDAH - Port Padang Garam yang terletak di persisir pantai Kuala Kedah kini semakin popular sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini selain menjadi satu lagi tarikan baharu di Kuala Kedah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin berkata, kawasan rekreasi tumpuan ramai itu khususnya pada waktu petang dan hujung minggu, kini

semakin ceria dan meriah selepas kawasan tersebut dinaik taraf daripada kawasan semak-samun.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu, Port Padang Garam bersebelahan Pantai Leman ini bukan sahaja menceriakan landskap Kuala Kedah, malah memberi ruang kepada orang ramai untuk beriadah dan ‘healing’ bersama keluarga.

“Dahulunya kawasan ini terbiar dan dipenuhi semak belukar, namun kini wajahnya berubah menjadi semakin cantik dan indah, saban hari dikunjungi orang ramai dari jauh dan dekat.

“Kita akan terus memperindahkan dan memakmurkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan yang berdaya maju,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan kawasan itu turut membuka peluang rezeki kepada peniaga kecil apabila aktiviti jualan rancak dijalankan setiap petang, selepas dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Mengubah wajah kawasan itu dan membina popularitinya adalah satu perkara, menjaga supaya kawasannya kekal bersih dan ceria pula merupakan amanah dan tanggungjawab yang tidak boleh diambil mudah.

“Oleh itu, usaha memperindah dan mempopularkan kawasan itu perlu disusuli dengan komitmen berterusan bagi memastikan kebersihan dan keceriaan Port Padang Garam sentiasa terpelihara,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Salleh memaklumkan, baru-baru ini diadakan program gotong-royong di Port Padang Garam atas inisiatif Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kubang Rotan, melibatkan penyertaan semua penghulu mukim, Majlis Ketua Kampung (MKK), peniaga, penduduk setempat serta Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah.

“Program tersebut mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dalam menjaga kelestarian kawasan pelancongan itu agar sentiasa bersih demi keselesaan pengunjung, sambil menikmati keindahan semula jadi di kawasan berkenaan.

“Port Padang Garam membuktikan apabila komuniti bersatu, perubahan itu menjadi nyata. 

“Insya-ALLAH, usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Saya juga berharap semua pengunjung dan komuniti peniaga terus memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran. Port kita, tanggungjawab kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, projek naik taraf Port Padang Garam yang dilaksanakan dalam tiga fasa melibatkan laluan sejauh 4.5 kilometer di persisiran pantai, menyediakan kemudahan rekreasi kepada masyarakat setempat.

Kawasan itu juga berpotensi menjadi destinasi pilihan pencinta alam kerana menawarkan pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan, selain memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Post a Comment

0 Comments