PELETAKAN JAWATAN PENGERUSI: MESYUARAT TERGEMPAR MT PN PERLU DISEGERAKAN - ABDUL HADI

Oleh: Roslinda Hashim 


KUALA LUMPUR - Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) perlu disegerakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi PN.

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat berkenaan perlu diadakan bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan gabungan berkenaan.

Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS berkata, keperluan itu merujuk kepada proses penerimaan dan pengesahan peletakan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan calon baharu bagi jawatan tersebut.

“Adalah diharapkan perkara ini dapat diambil perhatian dan diberikan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah melebihi 10 hari.

“Justeru, bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, saya berpandangan suatu panggilan Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN hendaklah disegerakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, surat bertarikh 10 Januari itu telah diedarkan kepada Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PN, untuk memanggil mesyuarat tergempar tersebut.

Abdul Hadi memaklumkan, PAS telah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN bertarikh 30 Disember 2025 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

“PAS menghormati dan menerima keputusan tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat serta jasa bakti Muhyiddin sepanjang menerajui PN,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Post a Comment

0 Comments