Oleh: Mr Rado
KUPANG -Seekor gajah liar yang memasuki Kampung Charok Kapas berjaya ditangkap oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu operasi.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung Charok Kapas dan Bukit Hijau, Mohamad Rizam Malek, berkata beberapa ekor gajah liar telah dikesan memasuki kawasan hutan berhampiran Kampung Charok Kapas.
Menurut beliau, laluan gajah di kawasan kampung berkenaan dikenal pasti sebagai laluan semula jadi haiwan tersebut.
“Kehadiran gajah liar ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung berikutan risiko keselamatan serta kemungkinan berlakunya kerosakan tanaman dan harta benda.
"Susulan itu, pihak Jabatan Perhilitan telah menjalankan operasi penangkapan dan kawalan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat,” katanya kepada media PAS Kawasan Baling.
Mengulas mengenai baki gajah lain, beliau berkata operasi penangkapan adalah bergantung kepada keadaan semasa.
“Sekiranya gajah-gajah tersebut tidak mengganggu dan tidak merosakkan tanaman penduduk, pihak Perhilitan tidak akan menjalankan tangkapan.
"Setakat ini, baki gajah yang dikesan hanya melibatkan bunyi pergerakan sahaja dan tidak kelihatan secara jelas,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (Bersara) Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad, telah mengadakan tinjauan di lokasi tangkapan gajah tersebut semalam.
Beliau turut diberikan taklimat berkaitan operasi berkenaan oleh pihak Perhilitan.
“Saya bersama penduduk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Perhilitan yang telah bertindak pantas bagi mencegah sebarang kemungkinan buruk.
"Dengan tertangkapnya seekor gajah ini, keadaan berjaya diredakan dan pihak Perhilitan akan terus menjalankan kawalan keselamatan di kawasan kampung ini demi menjaga keselamatan penduduk,"katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang memasuki kawasan hutan untuk aktiviti seperti pertanian agar sentiasa berhati-hati.
“Saya berharap penduduk tidak melakukan sebarang provokasi terhadap haiwan berkenaan bagi mengelakkan ia bertindak agresif,” tambahnya.
Sebagai tanda sokongan terhadap operasi Perhilitan, Dato’ Najmi telah menyampaikan sumbangan tunai kepada pasukan bertugas.
"Kupang Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

0 Comments