JANGAN DISEKAT AIR YANG MENGALIR, DIKHUATIRI IA AKAN MEMBUSUK

 

oleh: Dr. Mukhtaruddin Musa

Kekosongan Pengerusi Ialah Isu Tadbir Urus Yang Menentukan Masa Depan Gabungan

Dalam sehari dua ini, perdebatan berkenaan pemilihan Pengerusi PN semakin panas, rentetan dari tularnya surat panggilan mesyuarat oleh Presiden PAS kepada parti komponen PN. Tujuan surat itu mudah difahami, iaitu memanggil MT PN untuk mengesahkan perletakan jawatan dan seterusnya memilih Pengerusi baru PN. Namun respon awal ketua pemuda BERSATU mengundang respon balas dari ketua pemuda PAS. Yang ditimbulkan ialah pertikaian adab dan prosedur semata-mata.

Hakikat yang PN perlu tangani adalah lebih besar , iaitu krisis kepimpinan, legitimasi, dan keupayaan membuat keputusan. Dalam politik gabungan, adab memang penting; tetapi apabila wujud kekosongan jawatan utama dan ia dibiarkan berlarutan, “adab” semata-mata tidak memulihkan keyakinan pengundi. Yang memulihkan keyakinan ialah kepimpinan yang jelas, keputusan yang mengikat semua pihak, dan mekanisme tadbir urus yang berfungsi.

Fakta paling penting yang patut menjadi titik mula ialah pengumuman perletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin 

sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026.   Kemudian ia diikuti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula yang meletakkan sebagai Setiausaha Agung PN bermula tarikh yang sama.   Dua jawatan ini bukan kosmetik; ia pusat kepada panggilan mesyuarat, penyelarasan keputusan, pengurusan krisis, dan disiplin komunikasi gabungan. Apabila kedua-dua fungsi ini goyah serentak, PN sebenarnya berada dalam fasa “vacuum”. Ia membawa maksud dalam politik ialah ruang yang cepat dipenuhi persepsi negatif dan serangan lawan. Laporan media melaporkan peletakan jawatan ini berlaku dalam suasana ketegangan dalam gabungan dan mencetus ketidakpastian kepimpinan PN atau bahasa mudahnya krisis kepimpinan.

Dalam krisis organisasi, bahasa keras biasanya simptom, bukan punca. Puncanya ialah kelewatan tindak balas institusi gabungan ketika kemelut Perlis memuncak.  Pada saat isu negeri sedang “memakan” imej nasional, rakyat melihat PN pusat tidak mempamerkan kecekapan pengurusan krisis yang meyakinkan. Dan apabila jawatan Pengerusi pula beralih kepada kekosongan, masalah menjadi berganda: bukan sahaja krisis belum reda, “pusat kawalan” pula kabur.

Apabila berlakunya situasi sebegini, sesuatu perlu dilakukan. Tindakan Presiden PAS memanggil mesyuarat dilihat sebagai langkah untuk “mencerahkan pusat kawalan”.  Hujah bahawa “Timbalan Pengerusi tiada kuasa memanggil mesyuarat selagi Pengerusi masih ada” mungkin kelihatan kemas pada bacaan literal. Tetapi ia tidak menjawab persoalan operasi: bagaimana gabungan boleh berfungsi apabila Pengerusi sudah mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa tarikh tertentu dan Setiausaha Agung pula turut melepaskan jawatan? 

Jika benar prinsipnya “ikut perlembagaan”, maka semangat peruntukan yang membenarkan mesyuarat luar biasa dipanggil (dengan tempoh 14 hari) sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan kekosongan—bukan dijadikan alasan untuk bertikam tentang “siapa berhak memanggil”.  

Berdebat berkenaan “tertib”, dan “siapa berhak memanggil” tidak membantu untuk melicinkan pentadbiran PN san meyakinkan rakyat. Rakyat tidak membaca 8.3 atau 12.2; rakyat membaca satu isyarat mudah: PN sukar menyelaraskan keputusan dalaman. 

Dalam krisis, kelewatan ialah keputusan dan keputusan untuk lambat bertindak mempunyai kos politik yang nyata: penyokong menjadi letih, pengundi atas pagar menilai PN tidak stabil, dan lawan politik mendapat naratif percuma bahawa PN “tidak mampu mengurus rumah sendiri”.

Jadi, apakah jalan keluar yang realistik bukan retorik? PN perlu menyelesaikan isu Pengerusi dengan cepat melalui pelan berinstitusi yang mengikat semua komponen iaitu dengan menetapkan tarikh Mesyuarat Tergempar MT PN dalam tempoh maksimum 14 hari dan umumkan tarikh itu secara rasmi, supaya isu tidak terus terapung dalam spekulasi.  

Ini penting agar “pusat kawalan” kembali berfungsi menyusun strategi bagi menghadapi pilihanraya akan datang. Selagi isu Pengerusi dibiarkan terapung, PN akan terus berputar dan kehilangan momentum. Jika PN mahu bergerak ke hadapan, ia perlu segera memaku jawapan paling asas: siapa memimpin, bila diputuskan, dan bagaimana keputusan itu mengikat semua komponen tanpa pengecualian.

Kesimpulannya, penulisan yang membincangkan fasal mungkin betul pada satu sudut. Namun PN tidak akan dinilai oleh rakyat kerana mampu memetik fasal, tetapi kerana mampu membuat keputusan yang cepat, sah, dan mengikat semua pihak.

Post a Comment

0 Comments