Roslinda Hashim
KULIM - Kedah mencatat satu lagi pencapaian apabila Novolyte Technology Sdn Bhd memulakan projek pelaburan strategik berteknologi tinggi bernilai RM264 juta di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab industri berteknologi tinggi di peringkat serantau dan global.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kemasukan Novolyte membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem industri dan dasar pro-pelaburan Kerajaan Negeri Kedah.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembangunan kilang bahan elektronik di atas tanah seluas 10.195 ekar di KHTP, dengan pelaburan fasa awal bertumpu kepada pembangunan fasiliti pembuatan bahan elektrolit serta bahan kimia elektronik untuk aplikasi berkaitan bateri.
“Ini menandakan bermulanya satu lagi pelaburan strategik berteknologi tinggi di Kedah.
“Pelaburan ini akan mengukuhkan kedudukan Kedah dalam rantaian bekalan global industri bateri dan bahan kimia elektronik, selari dengan strategi pembangunan industri negeri yang menumpukan kepada pembuatan bernilai tinggi, industri berintensif teknologi serta sektor mampan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Novolyte Technology Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Dato’ Haji Elmi Yusoff; Konsul Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Pengarah Eksekutif, Pembangunan Pembuatan (Sumber) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Suraya Susah; Pengarah MIDA Kedah/Perlis, Nazlizan Abdullah.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Mohd Zaid Abdul Jalil; Pengerusi Novolyte Technology Sdn Bhd, Song Chunhua; serta Ketua Pegawai Eksekutif Novolyte Technology Sdn Bhd, Zhou Dawen.
Menurut Haim Hilman, pelaburan Novolyte bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah membuka ruang kepada pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Kedah.
“Ia bukan sahaja menandakan permulaan pembinaan sebuah kemudahan baharu, malah menjadi titik permulaan kerjasama jangka panjang antara Novolyte dan Kedah dalam membangunkan ekosistem tenaga baharu dan bahan bateri,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaburan ini dijangka mengukuhkan lagi peranan Kedah dan Malaysia dalam rantaian bekalan global industri bateri litium-ion, selari dengan pertumbuhan pesat sektor tersebut yang didorong oleh permintaan kenderaan elektrik (EV), penyimpanan tenaga boleh diperbaharui dan elektronik pengguna di peringkat global.
“Menurut kajian pasaran, industri bateri litium global dijangka melebihi USD400 bilion menjelang 2030, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dunia.
“Peranan Malaysia dalam rantaian bekalan litium-ion global akan diperkukuh melalui pelaburan strategik Novolyte Technology di Kedah, menjadikan negeri ini sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Haim Hilman memaklumkan, Novolyte merupakan pemain global dalam industri bahan bateri dan elektrolit dengan sokongan kukuh Capchem Group, selain mempunyai operasi antarabangsa di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
“Ia diperkukuhkan melalui pemerolehan aset dan teknologi strategik BASF Corporation termasuk jenama Selectilyte yang diiktiraf di peringkat global.
“Pada Mac 2025, Novolyte secara rasmi menubuhkan Novolyte Technology Sdn Bhd di Malaysia, mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembuatan tempatan, kecekapan rantaian bekalan serta hubungan lebih erat dengan pelanggan serantau,” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri Kedah akan terus menyokong pelabur melalui pendekatan pro-bisnes dan kemudahan ‘ease of doing business’, dalam memastikan kelancaran projek serta memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Dengan sokongan berterusan Kedah One-Investment Team dan Invest Kedah Bhd sebagai pusat sehenti pelaburan negeri, kami akan terus mempromosikan kemudahan menjalankan perniagaan di negeri ini.
“Kehadiran Novolyte Technology membina loji pembuatan di Kulim membuktikan keyakinan mereka terhadap pasaran negara serta menandakan kejayaan besar Kerajaan Negeri dalam menarik pelaburan asing dan memacu pemodenan industri,” katanya.

0 Comments