PN TIDAK GENTAR UMNO TANDING SOLO PADA PRU16 - SANUSI

 

Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Keputusan UMNO untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak menjejaskan kedudukan Perikatan Nasional (PN) malah gabungan itu yakin mampu mempertahankan semua kerusi dimenangi PN sebelum ini di Kedah.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak gentar dengan tindakan berani UMNO itu berdasarkan kepada prestasi parti itu dalam beberapa siri PRU lepas.

“Kita tak ada masalah sekiranya UMNO tanding solo. Kita cakap, ‘hai-hai, bye-bye’. Kita tengok siapa menang nanti (PRU16). Jika UMNO bertanding solo, kita pun seronok, dia tak kacau (kerusi) kita. Kerusi DUN yang PN menang ada 33,” katanya.

Sanusi yang merupakan Pengerusi PN Kedah berkata, sekiranya UMNO mahu menjalin kerjasama dengan PN sekalipun, parti itu hanya berpotensi untuk bertanding di tiga kerusi DUN yang dimenangi Pakatan Harapan (PH), iaitu Sidam, Bakar Arang dan Kota Darulaman.

“Kawasan itu ramai pengundi Cina, memandangkan UMNO berkawan dengan DAP, takkan tak menang tiga kerusi itu. Tapi mereka sendiri pun tak begitu yakin,” katanya.

Mengulas rekod keputusan pilihan raya lalu, Menteri Besar Kedah itu berkata, berdasarkan data PRU 2018 ketika parti-parti bertanding secara solo, PAS memenangi 15 kerusi DUN, PH beroleh 18 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya tiga kerusi.

“Tiga kerusi BN di Sungai Tiang, Guar Chempedak dan Bandar Baharu. Yang lain semua PAS. PH makin ruyup dah (sekarang),” katanya.

Sanusi turut mendakwa keinginan UMNO untuk bertanding secara solo lebih didorong oleh keperluan dalaman parti itu bagi memberi ruang kepada pemimpin dan ahli untuk menjadi calon.

“UMNO ini kalau tak ada jawatan dan tak jadi calon, macam tak boleh hidup. Sekurang-kurangnya  bila jadi ketua bahagian, dia boleh jadi calon. Itu yang meroyan dalam TikTok, semua kes nak jadi calon,” katanya lagi.

Tambah beliau, UMNO memilih pendekatan bertanding secara solo bagi membolehkan calon mereka bertanding di semua 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di Kedah, sekali gus memberi peluang kepada pemimpin parti membina pengaruh masing-masing.

“Itu sebab mereka nak bertanding solo. Bukan sebab ada data kukuh, tapi sebab nak teruskan kelangsungan dalam politik, jadi perlu bina diri sendiri, kedudukan dan nak jadi warlord.

“Kalau mereka duduk macam kita ahli PAS, suruh sumbang duit (derma) mesti lari tak cukup tanah. Itu beza antara PAS dengan UMNO, macam mana nak bergabung, tak mungkin,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, Sanusi turut membangkitkan kritikan berterusan terhadap PAS khususnya dirinya di media sosial yang disifatkan sebagai usaha mengejar perhatian dan ‘rating’ pihak tertentu.

“Hari-hari rakan PH, Amanah (Parti Amanah Negara) ‘beratib’ buat konten tentang PAS, cerita tentang parti mereka tidak ada pula. Gila talak kot Amanah ni, nak masuk PAS semula ka?

“Hari-hari orang buat konten kutuk Nusi. Siapa boleh tibai Nusi, view ramai, pakat ligan view. Mengata pada Nusi. Saya pun tak tengok apa mereka cakap, harap-harap yang mereka mengata saya jadi pahala untuk saya,” katanya.

Tambah beliau, situasi itu membuktikan pengaruh PAS di Kedah apabila hampir semua parti politik menjadikan PAS sebagai topik utama perbincangan.

Post a Comment

0 Comments