Oleh: TS Dr Mohd Suffian Haji Yusoff
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Kedah
Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden (UDP) peringkat Negeri Kedah sempena Muktamar Tahunan PAS ke-71 yang berlangsung pada 24 Januari 2026 di Kompleks PAS KEDAH bukan sekadar program susulan kepada muktamar, bahkan merupakan medan terpenting untuk menghidupkan roh perjuangan parti dalam kalangan ahli.
Ia adalah ruang menyeluruh bagi memahami, menghayati dan menterjemahkan gagasan besar Presiden PAS ke dalam tindakan tersusun di setiap peringkat jamaah. Justeru, kehadiran ke munaqasyah ini bukan pilihan, tetapi satu kewajiban perjuangan yang perlu dipikul oleh seluruh ahli.
- Ucapan Dasar Presiden: Kompas Perjuangan Jamaah
Ucapan Dasar Presiden adalah dokumen pemikiran tertinggi parti. Ia merangkum analisis politik semasa, cabaran dakwah dan pemerintahan, keutamaan strategik serta garis panduan gerak kerja jamaah.
Dalam ucapan ini terkandung arah tuju PAS yang bukan sahaja dalam politik pilihan raya, malah sebagai gerakan Islam yang memimpin perubahan masyarakat.
Tanpa pemahaman mendalam terhadap ucapan dasar ini, ahli akan bergerak tanpa kompas. Munaqasyah berfungsi membedah, menghuraikan dan menjelaskan maksud tersurat dan tersirat agar setiap ahli memahami rasional sesuatu pendirian, bukan sekadar menghafal slogan atau keputusan.
- Munaqasyah Sebagai Proses Ilmiah dan Tarbawi
Munaqasyah UDP bukan medan retorik, tetapi proses ilmiah yang berdisiplin. Ia mendidik ahli berfikir secara berasaskan ilmu, dalil, fakta dan realiti. Di sinilah ahli diasuh untuk memahami siyasah Islam secara matang, melihat politik sebagai wasilah dakwah, tadbir urus dan pembelaan rakyat, bukan sekadar perebutan kuasa.
Melalui perbincangan ini, ahli dibina dengan kefahaman yang seimbang antara idealisme Islam dan realiti semasa, selari dengan manhaj Rasulullah SAW dan sirah perjuangan para sahabat.
- Kewajiban Kehadiran Seluruh Peringkat Ahli
Kehadiran ke munaqasyah UDP telah digerakkan secara menyeluruh melibatkan semua peringkat dan lapisan jamaah termasuk cawangan, kawasan, dewan-dewan (Ulamak, Pemuda, Muslimat, Assabiqun, DHPP) serta perhubungan negeri. Kesepaduan kehadiran ini adalah lambang disiplin jamaah dan ketaatan kepada kepimpinan.
PAS bukan parti longgar yang membenarkan TAFSIRAN PERIBADI berleluasa. Ia adalah harakah Islam yang bergerak dengan prinsip syura, kesatuan fikrah dan keseragaman tindakan. Munaqasyah memastikan setiap ahli membawa mesej, naratif dan tindakan yang SELARI, daripada pimpinan tertinggi hingga ke akar umbi serta pemikiran yang SELARAS di semua peringkat.
Kehadiran Panel-panel yang Berwibawa Membawa Masej Presiden
Kekuatan munaqasyah UDP peringkat Negeri Kedah kali ini diperkasa dengan kehadiran panel yang berautoriti dan saling melengkapi, iaitu:
1. YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Hj. Nik Mohd Amar Bin Abdullah, Naib Presiden PAS merangkap Speaker DUN Kelantan, memiliki kelebihan besar dalam memahami pemikiran Presiden dan hala tuju parti secara menyeluruh. Pengalaman luas beliau bergelumang dengan PAS sejak sekian lama sebagai ADUN, Ahli Parlimen serta pentadbir negeri menjadikan huraian dasar bersifat realistik, tersusun dan berpijak pada fakta. Penguasaan beliau terhadap fiqh sirah dan sejarah para sahabat memberikan kedalaman ilmiah yang menenangkan dan meyakinkan.
2. YB. Ustaz Afnan Hamimi Bin Dato' Haji Taib Azamudden, Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional pula membawa dimensi segar dan dinamik. Ketajaman analisis, keberanian berhujah serta kefahaman mendalam terhadap denyut nadi generasi muda dan realiti politik semasa menjadikan perbincangan lebih hidup. Gabungan dan gandingan pengalaman dan kebijaksanaan YB Dato’ Nik Amar dengan keberanian serta kesegaran YB Afnan Hamimi menjadikan munaqasyah ini bernilai tinggi dan berimpak besar kepada semua lapisan ahli. Terima kasih kepada mereka berdua.
- Penyatuan Persepsi dan Naratif Perjuangan
Dalam suasana politik yang dipenuhi fitnah, propaganda dan maklumat bersimpang-siur, ahli PAS memerlukan sumber kefahaman yang sahih dan rasmi. Munaqasyah UDP adalah ruang menyelaraskan persepsi agar ahli tidak terpengaruh dengan naratif luar yang merosakkan fokus perjuangan.
Ia membentuk kesatuan fikrah supaya PAS tampil dengan suara yang jelas, matang dan konsisten dalam masyarakat sama ada di kampung, bandar, institusi pendidikan mahupun media sosial.
- Implikasi Gagal Menghadiri Munaqsyah UDP
Kegagalan ahli membawa diri menghadiri munaqasyah UDP memberikan implikasi yang berikut:
1. Ketinggalan daripada kefahaman dasar dan hala tuju sebenar parti
2. Terdedah kepada salah tafsir dan kekeliruan isu semasa
3. Lemah dalam mempertahankan pendirian PAS di tengah masyarakat
4. Terputus daripada proses tarbawi dan disiplin jamaah
Lebih merugikan, ia menandakan kecuaian terhadap amanah perjuangan dan adab berjamaah.
- Kehadiran Sebagai Jihad dan Pengorbanan
Menghadiri munaqasyah UDP adalah tanda jihad dan pengorbanan. Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan komitmen, namun di situlah nilai perjuangan. Setiap langkah hadir, setiap jam mendengar dan memahami dasar adalah amal yang menguatkan saf perjuangan Islam.
Ia membina kesetiaan, keikhlasan dan kesungguhan untuk bergerak seiring pimpinan demi mardhatillah.
- Memperteguh Saf Perjuangan Menghadapi PRU16
Kesimpulannya, Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden adalah nadi kepada kesinambungan perjuangan PAS. Ia medan ilmu, penyatuan fikrah, pengukuhan disiplin dan penyuburan semangat jihad.
TAHNIAH KEPADA PERWAKILAN SELURUH KAWASAN ATAS KEHADIRAN PADAT FULLHOUSE kerana kehadiran antum sebagai tanda dan bukti kekuatan PAS terletak pada ilmu, kesatuan dan ketaatan dalam perjuangan Islam yang istiqamah dalam persiapan PAS KEDAH menghadapi PRU16.
TAHNIAH KEPADA URUSETIA di bawah pengendalian Ketua Penerangan PAS Kedah Tuan Haji Zulkifli Yahaya.
AlFakir Ilallah
TS DR MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
TPJ3 BPPNK.

0 Comments