Oleh: Ustaz Hassan Saad
Ahli Parlimen Baling
Satu ketika dahulu, PAS bukanlah parti yang melekat di hati masyarakat.
Dihalau, diusir, ditohmah dan dipersepsikan dengan pelbagai gambaran negatif, PAS dijauhi oleh banyak lapisan masyarakat.
Namun para alim ulama tidak pernah berundur. Mereka terus istiqamah menegakkan Islam melalui PAS sebagai wadah perjuangan politik.
Beberapa puluh tahun lalu, ketika label “Pak Lebai” mula bertiup sebagai satu sindiran dan ejekan, PAS diketawakan serta dihina.
Hakikatnya, Pak Lebai itu datang daripada kalangan alim ulama dan guru-guru pondok. Mereka tidak pernah putus berdoa agar suatu hari nanti hati masyarakat dilembutkan dan memahami dasar yang dibawa oleh parti ini.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, doa-doa merekalah yang kini menjadi kenyataan. PAS hari ini diterima oleh semua lapisan masyarakat, merentasi kaum dan latar belakang.
Parti yang suatu ketika dahulu dilabel dan difitnah dengan pelbagai tohmahan, kini menjadi payung ummah serta payung kepada rakyat yang mencintai agama dan negara.
Hadir ke Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Kali Ke-71 di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, Alor Setar.
Kompleks ini suatu ketika dahulu hanyalah sawah bendang yang bertakung air selut. Hari ini, dengan berkat perjuangan dan sokongan semua, sebuah dewan dan kompleks PAS berdiri megah. Alhamdulillah.

0 Comments